Monday, September 12, 2011

Yong layak digelar wira skuad Helang Kota


KUALA LUMPUR - Penjaring gol kedua Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong berhak digelar wira skuad Helang Kota apabila mencatat kejutan dengan menumbangkan T-Team 2-1 dalam perlawanan Kumpulan D Piala Malaysia kelmarin.

Biarpun mengakui kejayaan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu hasil kerja sepasukan, jurulatih Razip Ismail tidak menafikan sentuhan tepat pemain itu cukup penting dalam memberikan tiga mata, sekali gus mendahului kumpulan selepas dua perlawanan.

"Jaringannya cukup penting dalam memastikan tiga mata Kuala Lumpur tetapi semua pemain turut menunjukkan prestasi yang baik termasuk penjaga gol Norazlan Razali," katanya kepadaUtusan Malaysia.

Razip mengakui teguran tegasnya pada waktu rehat di bilik persalinan, turut menambah baik prestasi pasukan yang agak terjejas gara-gara dikejutkan dengan jaringan penyamaan T-Team pada minit terakhir babak pertama.

Selasa lalu, Helang Kota yang baru beransur pulih daripada kemelut gaji tertunggak pemain menjelang Aidilfitri, membuka tirai Piala Malaysia dengan meyakinkan apabila menewaskan pasukan berstatus Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Paroi.

Kata Razip, kejayaan kelmarin turut mencapai matlamat dalam melihat pasukan Kuala Lumpur berprestasi konsisten walau di mana pun aksi mereka termasuk apabila beralih gelanggang sendiri ke Selayang dari kubu asal ketika Liga Super dan Piala FA ke Cheras.

"Lawan seterusnya ialah Selangor. Dengan sejarah, rekod dan pengalaman serta kualiti pemain, mereka masih sebuah pasukan pilihan tetapi saya harap momentum Kuala Lumpur akan berterusan di gelanggang baru kami, Selayang," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...