Monday, September 26, 2011

Kuala Lumpur sengaja tempah laluan sukar


SKUAD warga kota, Kuala Lumpur seolah-olah sengaja menempah 'penyakit' apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan T-Team di gelanggang lawan dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia malam kelmarin.
Meskipun masih kekal di tangga kedua selepas mengumpul sembilan mata, keputusan seri itu ternyata meletakkan Kuala Lumpur di laluan sukar menjelang pertemuan menentang Selangor di Stadium Shah Alam bagi aksi terakhir kumpulan malam esok.
Apa yang pasti, skuad kendalian Razip Ismail kini berdepan ranjau penuh berliku kerana skuad Gergasi Merah pastinya tampil dengan aksi yang lebih garang bagi menghidupkan sisa-sisa perjuangan ke suku akhir.
Nasib ternyata masih menyebelahi skuad Helang apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-46, sekali gus menghalang T-Team daripada mengutip tiga mata penuh selepas mendahului menerusi gol Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-28.
Kekecewaan dipintas pada saat-saat akhir pastinya lebih memilukan, justeru Razip enggan memandang mudah pertemuan menentang Gergasi Merah malam esok.
"Kita masih mempunyai dua pilihan - sama ada menang ataupun seri ketika menentang Selangor.
"Justeru pemain dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah perlawanan terakhir selain tidak tunduk dengan tekanan beraksi di depan ribuan penyokong Merah Kuning yang pasti kembali menguasai stadium," katanya kepada Kosmo! semalam.
Satu lagi slot suku akhir kini menjadi buruan antara kedua-dua pasukan apabila juara 32 kali, Selangor dilihat masih bernyawa dengan tujuh mata, dua mata di belakang Kuala Lumpur di saat satu lagi slot kini hampir pasti diisi pasukan T-Team setelah menerajui singgahsana Kumpulan D dengan 10 mata.
Menurut Razip, dia enggan memperjudikan nasib pasukannya yang mampu dipintas saat-saat akhir oleh Selangor jika tewas di Shah Alam malam esok.
"Saya mungkin melakukan sedikit perubahan taktikal, namun pada masa sama masih terlalu awal untuk menekan butang kecemasan kerana masih mempunyai baki 90 minit permainan.
"Tekanan juga pasti lebih dirasai Selangor kerana mereka mahukan kemenangan, selain terpaksa berdepan dengan penyokong sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...