KUALA LUMPUR - Di atas kertas, Selangor sepatutnya tiada masalah untuk menewaskan skuad ibu kota, Kuala Lumpur pada perlawanan terakhir Kumpulan D bagi mengisi slot suku akhir Piala Malaysia, hari ini.
Namun, peneraju baru Red Giants, P. Maniam enggan mendabik dada bagi menghadapi perlawanan getir di Stadium Shah Alam, kerana menyedari Selangor amat memerlukan kemenangan.
Apa yang mencemaskan, jika seri hari ini, ia membuka laluan buat Kuala Lumpur ke suku akhir.
Maniam berkata, skuad bimbingan Razip Ismail, Kuala Lumpur bukan pasukan yang mudah untuk dikalahkan.
"Kuala Lumpur memiliki barisan pemain yang bagus. Begitupun saya yakin selepas kami mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam (kelmarin), keyakinan para pemain berada pada tahap tertinggi," katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, tumpuan para pemain juga berada pada tahap terbaik dan masing-masing bersemangat untuk mencatat kemenangan bagi memastikan Selangor layak ke pusingan seterusnya.
"Apa yang penting adalah kemahuan untuk bermain dengan bersungguh-sungguh, semangat itu kena ada dalam diri para pemain," ujarnya.
Selangor berada pada kedudukan genting apabila menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan
7 mata di belakang Kuala Lumpur (9 mata) dan T-Team yang sudah mengesahkan slot suku akhir.
Maniam, yang menggantikan K. Devan berkata, pemain tonggak seperti Safiq Rahim, Amirul Hadi Zainal dan ketua pasukan, Amri Yahya membuktikan kesungguhan ketika menentang PDRM tempoh hari.
Malah, katanya, pemain lain seperti Bunyamin Omar dan Azidan Sarudin turut memberikan persembahan terbaik buat pasukan.
Mengulas mengenai barisan kemungkinan menentang Kuala Lumpur, Maniam menjelaskan, dia tidak akan melakukan perubahan besar dalam pasukannya dan dijangka mengekalkan kesebelasan yang sama ketika menentang PDRM.
"Saya tidak bimbang mengenai perancangan Selangor menentang Kuala Lumpur esok kerana kami memiliki banyak pilihan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment