Tuesday, September 20, 2011

Jepun tertekan


“JEPUN memang bukan calang-calang pasukan. Mereka sudah beraksi di Piala Dunia dan juga Sukan Olimpik tapi itu tidak bermakna mereka akan sentiasa tenang.

“Sebagai pasukan pilihan dan beraksi di tempat sendiri, mereka juga pasti tertekan,” kata jurulatih Olimpik negara, Ong Kim Swee (gambar) mengenai pertembungan getir aksi pembukaan Kumpulan C, kelayakan Sukan Olimpik London di Stadium Tosu esok.

Menurutnya, bukan mudah buat sesebuah pasukan mendapat rentak dalam perlawanan pertama sesuatu kejohanan dan beliau berharap anak buahnya mampu mengambil setiap kesempatan terhidang untuk menghukum skuad Samurai Blue yang dikendalikan Takashi Sekizuka.


“Kita pasukan bukan pilihan, tak perlulah terlalu memikirkan sangat kekuatan lawan. Saya hanya mahu menumpukan terhadap strategi sendiri dan mudah-mudahan kita boleh meraih satu mata daripada perlawanan ini,” katanya yang dihubungi Arena Metro di Fukuoka semalam.

Malaysia wakil tunggal Asia Tenggara yang mara ke pusingan ketiga peringkat kumpulan kelayakan Olimpik London memulakan kempen memburu satu slot automatik daripada Kumpulan C selepas menewaskan Pakistan 2-0 dan Lubnan 2-1 pada peringkat awal.

Bagaimanapun ia tidak semudah diimpikan kerana Jepun yang mengintai beraksi di Olimpik buat kali kelima berturut-turut bakal menjadi penghalang utama selain dua lagi wakil dari negara Arab - Syria dan Bahrain.



Kim Swee yang sudah berada di Jepun sejak Jumaat lalu berkata, anak buahnya sudah bersedia berdepan Jepun meskipun persiapannya sedikit terjejas apabila tonggak utama Mohd Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor mengalami kecederaan.

“Irfan dan Wan Zack tidak menjalani latihan bersama pasukan hari ini (semalam). Saya akan memantau tahap kecederaannya dan akan membuat keputusan sama ada akan menurunkannya pada perlawanan itu nanti selepas sesi latihan malam esok (hari ini).


“Ketiadaan pemain ini memang dirasai tapi saya ada pemain lain yang boleh menggantikan tempat mereka seperti A Thamil Arasu dan Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria).

“Bagi saya semua pemain sudah bersedia dan dari segi strategi semua pemain sudah faham sewaktu kami menjalani latihan di Slovakia lagi. Di sini saya hanya menggilap dan memperbaiki sedikit kelemahan saja,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sambutan penduduk Jepun di sana khususnya pihak media tempatan dengan kehadiran skuad Olimpik negara, Kim Swee menyatakan beliau tidak membenarkan orang luar mengikuti sesi latihan mereka.

“Saya tidak benarkan media Jepun membuat liputan sesi latihan sejak kami tiba di sini, saya tidak mahu pemain terganggu. Saya hanya membenarkan mereka datang esok (hari ini),” katanya yang akan membawa anak buahnya menguji venue pertandingan, Stadium Tosu buat kali pertama hari ini.

Juara setiap kumpulan layak secara automatik ke Sukan Olimpik London manakala naib juara akan bersaing sekali lagi untuk menentukan tempat dalam perlawanan play-off menentang wakil dari Afrika untuk baki satu lagi slot.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...