Monday, September 12, 2011

Terengganu lega berjaya elak kejutan PKNS


Pemain Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ari (tengah) melepasi halangan pemain PKNS, Mohd. Khairul Azrin pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU - Biarpun meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Piala Malaysia, Terengganu agak pincang dan nyaris dimalukan ketika melayan kunjungan juara Liga Perdana, PKNS kelmarin.

Ini diakui pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim biarpun Terengganu semakin mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan.

Menurut Irfan, corak permainan pasukan pelawat yang dibimbing bekas pengendali skuad kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim menganggu rentak permainan anak buahnya terutama pada babak pertama.

"Kami agak tertekan pada separuh masa pertama kerana pelawat bermain agresif.

"Keadaan padang yang basah memang sesuai untuk permainan agresif.

"Pada babak kedua saya ubah corak permainan untuk mematahkan permainan agresif PKNS dan ia membuahkan hasil," katanya.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, skuad Penyu menerima tentangan hebat daripada pasukan berstatus kelab itu sebelum menang tipis 3-2.

Mohd. Ashaari Samsudin membuka jaringan tuan rumah seawal minit pertama sebelum pelawat bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Fauzan Dzulkifli lapan minit kemudian.

Reeshafiq Alwi menceriakan penyokong tuan rumah apabila menyumbat gol kedua hasil umpanan Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-54.

PKNS merapatkan kedudukan hasil jaringan pemain gantian, Mohd. Zamri Hassan pada minit ke-62.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, pengadil Mohd. Romzi Zahari menghadiahkan penalti untuk Terengganu setelah bola terkena tangan pemain pelawat dalam kotak penalti, yang disempurnakan Abdul Manaf Mamat untuk gol kemenangan pada minit ke-79.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...