Friday, September 23, 2011

Kim Swee buatlah sesuatu!


KUALA LUMPUR – ‘Bagai langit dan bumi’, mungkin rumusan paling tepat menggambarkan jurang skuad Jepun dan skuad Olimpik Malaysia pada perlawanan kelmarin yang menyaksikan kita kecundang 0-2 kepada pasukan No. 1 Asia itu.

Jika tidak kerana kecekapan kapten pasukan yang juga penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, mungkin keputusan 0-2 itu bertukar kepada satu angka yang lebih menakutkan buat anak-anak buah Ong Kim Swee.

Itulah hakikatnya. Jika itulah persembahan terbaik yang dipamerkan oleh skuad Bawah 23 tahun negara, lupakan sahaja hasrat mahu mencipta sebarang kejutan ke atas dua lagi lawan yang akan ditemui dalam Kumpulan C, Syria dan Bahrain.

Beberapa jurulatih berpengalaman dan seorang tokoh bola sepak negara beranggapan selain menerima hakikat mutu bola sepak negara yang masih ketinggalan jauh di belakang negara matahari terbit itu, usaha memperbanyakkan perlawanan dengan pasukan kelas satu perlu dipergiatkan jika mahu melihat kita mampu berada dalam kelompok terbaik Asia.

Menurut jurulatih Terengganu, Irfan Bakti, melihatkan aksi anak-anak buah Kim Swee dalam 90 minit, pemain kita terlalu banyak kelonggaran dan kerap memberikan ruang kepada Jepun untuk bergerak.

‘‘Dari segi teknik dan taktikal, skuad negara bukan tandingan Jepun, lihatlah sendiri bagaimana pergerakan pemain kita banyak yang tersekat dan berapa percubaan mereka (Jepun) serta skuad kita lakukan.

‘‘Kita ada pemain yang mempunyai skil tinggi tetapi jelas mereka tidak mempunyai peluang berdepan Jepun yang pantas menutup ruang apabila pemain kita mula bergerak dan mahu membuka ruang,” katanya yang dihubungi, semalam.

Justeru, Irfan berkata, usaha berterusan menghantar pemain mendapatkan pendedahan perlu ada dan seperti ke Slovakia.

‘‘Walaupun kalah, saya harap semua pihak semua jangan putus asa, saya nampak penghantaran pemain ke Slovakia ada beri kebaikan walaupun hasil belum menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Raja Zainuddin berkata, Jepun memang merupakan sebuah pasukan berkelas dunia tetapi perkara itu tidak boleh dijadikan alasan.

‘‘Biarpun kalah 0-2, kita jangan berpuas hati kerana mutu permainan jelas masih jauh ketinggalan dengan Jepun.

‘‘Pendedahan bermain dengan pasukan-pasukan yang mempunyai kualiti seperti Jepun harus diperbanyakkan jika mahu menaikkan lagi tahap permainan kita.

‘‘Kita jangan asyik cari pasukan yang kemampuan setara atau lebih lemah daripada kita sahaja dengan alasan mahu meningkatkan ranking seperti mana skuad senior, kalau tidak sampai bila kita tidak akan ke mana-mana,” jelasnya.

Sementara jurulatih Pahang, Dollah Salleh, mengakui dia telah nampak sedikit peningkatan persembahan daripada skuad Olimpik tetapi belum mampu menghampiri kekuatan yang ada pada Jepun.

‘‘Pada kecergasan pemain, saya nampak kita setanding dengan Jepun cuma daripada kekuatan fizikal, kita masih ketinggalan.

‘‘Apabila saya menyebut fizikal, ia bukan bermakna terletak semata-mata kepada faktor ketinggian atau saiz badan tetapi menjurus kepada kekuatan ketika bersaing perebutan bola,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...