Friday, September 30, 2011
Uji pemain Ivory Coast, Croatia
KOTA BHARU – Juara Liga Super, Kelantan membuat persiapan awal saingan musim depan apabila bakal menguji enam pemain import untuk diserapkan ke dalam pasukan itu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata, enam pemain tersebut akan diuji secara berperingkat dalam beberapa siri perlawanan persahabatan.
Menurutnya, ujian tersebut penting buat Red Warriors sebagai persiapan awal mengharungi musim yang lebih mencabar tahun hadapan.
“Enam pemain tersebut ialah dari Ivory Coast, Croatia, Ghana dan Nigeria. Tiga pemain akan diuji pada perlawanan persahabatan dengan kelab Thailand, Songkla FC manakala selebihnya dalam beberapa siri persahabatan yang lain.
“Dari jumlah tersebut hanya tiga pemain yang akan dipilih.
“Bagaimanapun hanya dua akan didaftarkan untuk saingan Liga Malaysia seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Seorang lagi akan di daftarkan untuk beraksi dalam saingan kejohanan Asia.
“Selain itu juga kita sedang meneliti untuk mengambil seorang lagi pemain import secara pinjaman dari Asia untuk melengkapkan jumlah empat pemain bagi menghadapi saingan Asia, ia dibenarkan oleh Persekutuan Konfederasi Bola Sepak Asia(AFC),” katanya di sini semalam.
Annuar memberitahu meskipun persiapan tersebut dilihat terlalu awal, ia penting buat Kelantan untuk persaingan peringkat antarabangsa.
“Kita tidak mahu mengambil mudah saingan peringkat Asia.
“Kita jangka senarai penuh pemain yang akan menyarung jersi Kelantan termasuk jurulatih mungkin dapat diketahui pada akhir Oktober ini,” katanya.
Annuar juga menjelaskan 90 peratus pemain yang bersama Kelantan musim ini, telah menyatakan persetujuan untuk kekal musim depan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment