Thursday, September 15, 2011

Razip mahu KL konsisten


SELEPAS mengharungi pusingan pertama peringkat kumpulan D tanpa kalah termasuk mengikat pasukan pilihan, Selangor 0-0 dalam pertembungan pasukan berjiran kelmarin, jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail menegaskan anak buahnya kini berada di landasan tepat untuk mara ke peringkat seterusnya.

Jelasnya, walaupun perebutan masih terbuka namun kedudukan selaku peneraju kumpulan dengan mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan tidak seharusnya dipersia-siakan skuad warga kota itu.

“Semua pasukan masih berpeluang melepasi pusingan peringkat kumpulan tapi bagi saya, kami tidak mahu terlepas peluang beraksi di peringkat suku akhir.


“Kami berjaya mencatat keputusan baik setakat ini dan semestinya ia merugikan jika kami gagal memanfaatkan kelebihan yang ada. Kami perlu lebih konsisten dalam baki tiga lagi perlawanan kumpulan,” kata Razip.

Kuala Lumpur yang dilanda masalah pembayaran gaji pemain sebelum kempen Piala Malaysia bermula mencipta kejutan dalam saingan kali ini dengan merekod kemenangan ke atas PDRM 3-0 dan T-Team 2-1.

Bagaimanapun Razip sedikit kecewa kerana gagal meraih mata penuh menentang Selangor apatah lagi beliau berasakan kemenangan sudah pasti menjadi milik mereka jika pengadil memberikan dua sepakan penalti dalam perlawanan itu.



“Pengadil tidak memberikan dua sepakan penalti kepada pasukan Kuala Lumpur tapi apa boleh buat, keputusan pengadil adalah muktamad,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...