Monday, September 19, 2011

Devan tetap optimis nasib Selangor


KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, K. Devan mengakui dia kini kesuntukan masa untuk menyelamatkan pasukannya tersingkir awal dari saingan Piala Malaysia, namun kekal optimis segala-galanya masih belum berakhir buat juara 32 kali itu dengan saingan kumpulan masih berbaki dua perlawanan.

Kekalahan mengejut 1-2 di kepada T-Team di Stadium Shah Alam kelmarin bermakna Gergasi Merah Kuning tiada pilihan melainkan memenangi kedua-dua perlawanan terakhir Kumpulan D menentang musuh jiran Lembah Klang, Kuala Lumpur dan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KL dan T-Team masing-masing hanya satu kemenangan daripada mengesahkan tiket mereka.

Selepas empat perlawanan, T-Team berada di kemuncak kumpulan dengan sembilan mata, hanya satu mata di atas KL dan lima mata mendahului Selangor.

Begitupun, Devan percaya peluang pasukannya memburu slot ke suku akhir masih belum tertutup sepenuhnya.

"Saya percaya kita masih berpeluang kerana mujur KL hanya seri dengan PDRM (kelmarin). Tiada alasan selepas ini, kita wajib mengutip enam mata maksimum dalam dua baki perlawanan selepas ini.

"Semasa bercakap dengan para pemain selepas perlawanan, masing-masing meluahkan keyakinan layak ke suku akhir.

"Setidak-tidaknya semangat masih ada.... ia sesuatu yang positif dan kita akan lakukannya sebagai satu pasukan," katanya.

Mengulas perlawanan kelmarin, Devan menganggap kekalahan di tangan T-Team angkara dua gol lawan pada lewat permainan sebagai sukar ditelan.

"Kita hanya sembilan minit daripada mengutip tiga mata penuh, jadi keputusan ini memang sukar untuk diterima.

"Kita mendahului untuk selama 81 minit dan kelekaan pada penghujung permainan membawa padah. Kita bermain dengan bagus pada babak pertama, mungkin pemain ingat mendahului 1-0 sudah memadai," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...