Friday, September 16, 2011

Safiq teruja bertandang ke Cardiff City


KUALA LUMPUR – Teruja dan mahu cemerlang sebagai pemain Malaysia. Itu azam pemain kebangsaan, Safiq Rahim apabila memperoleh peluang menjalani latihan bersama Cardiff City sama seperti rakan sepasukannya Safee Sali.

Safiq berkata, pada penghujung Oktober ini gilirannya pula akan berangkat ke Cardiff City yang berpengkalan di Ninian Park untuk berlatih bersama pasukan Liga Kejuaraan itu.

Tambah Safiq, misinya di sana nanti adalah untuk menimba ilmu sebanyak mana yang boleh terutama bagi memantapkan lagi gaya permainannya.

“Saya juga akan cuba untuk buktikan bahawa masih ada pemain Malaysia yang mampu beraksi dengan baik bersama kelab Eropah.

“Sebagai pemain bola sepak sudah tentu peluang sebegini tidak boleh di lepaskan begitu sahaja kerana bukan mudah untuk memperoleh peluang begini dan saya akan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ketika ini Safiq yang terlibat dalam kempen Piala Malaysia bersama Selangor mahu menumpukan perhatiannya terlebih dahulu dalam semua perlawanan yang bakal ditempuhi skuad merah kuning sebelum berkunjung ke Ninian Park.

Safiq juga memberitahu, selain menjalani latihan bersama skuad Bluebirds impiannya juga adalah untuk bersama beraksi dalam pasukan kendalian Malky Mackay itu

“Seandainya dapat bermain bersama mereka sudah tentu ia mengujakan saya. Bagi saya sekiranya dipilih untuk beraksi ia sudah tentu bukan satu masalah buat saya sebagai pemain namun kita perlu ikut peraturan ditetapkan terlebih dahulu,” jelas Safiq.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...