"KAMI tak sabar menunggu Rabu (esok). Ini perlawanan cukup besar dan semua pemain tahu matlamat,” kata jurulatih skuad negara, Ong Kim Swee, semalam.
Kim Swee sedikit pun tidak terganggu oleh laporan akhbar dan televisyen tempatan di Jepun yang memberi tumpuan terhadap bintang-bintang utama skuad Olimpik Jepun yang bersedia menggegar gawang Malaysia dikawal ketua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat.
“Memang cukup banyak laporan media di sini (Jepun) yang memaparkan kehebatan pasukan mereka. Tapi saya tak mahu fikir sangat kerana takkan saya nak habiskan masa memikirkan kelebihan semua 18 pemain Jepun termasuk di bangku simpanan. Apa yang penting, pasukan kita sendiri.
“Keadaan pemain semuanya baik kecuali dua pemain cedera iaitu Irfan Fazail (lutut) dan Wan Zack Haikal Wan Nor (pangkal paha). Irfan hampir pasti tidak akan berada dalam kesebelasan utama tetapi Wan Zack saya yakin dia dapat diturunkan,” kata Kim Swee ketika dihubungi di Fukuoka, semalam.
Dengan Irfan mungkin hanya dapat dimasukkan sebagai pemain gantian, Kim Swee kini meletakkan harapan tinggi kepada A Thamil Arasu untuk digandingkan sama ada dengan Izzaq Faris Ramlan atau Syahrul Azwari Ibrahim di jentera serangan.
“Tugas buat Thamil kali ini cukup berat apabila dia diperlukan bukan saya membantu serangan tetapi ketika kita bertahan. Jadi saya mengharapkan tenaga sekali ganda daripada Thamil sepanjang perlawanan ini.
“Ketiadaan Irfan memang agak dirasai terutama dari segi hantaran dan sentuhan penyudah. Tapi dengan adanya Thamil, Syahrul atau Nazmi Faiz Mansor, ia tidak menjadi masalah besar kepada pasukan,” jelas Kim Swee.
INFO
Barisan kemungkinan Malaysia
Khairul Fahmi Che Mat (kapten), Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Zubir Azmi, Wan Zack Haikal Wan Nor, K Gurusamy, Abdul Shukur Jusoh, Fandi Othman, A Thamil Arasu, Izzaq Faris Ramlan
No comments:
Post a Comment