KECEDERAAN otot yang selama ini membelenggu penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali kini kembali menghantui pemain itu dalam usaha menyarung jersi kelab England, Cardiff City.
Safee kembali dihantui masalah kecederaan tersebut semasa menjalani ujian pemilihan di pusat latihan Cardiff kelmarin, sekali gus sedikit menjejaskan rentak persembahannya dalam usaha memikat pihak pengurusan kelab.
Kecederaan tersebut menyebabkan Safee kurang selesa, terutamanya semasa melakukan percubaan jaringan, selain turut menganggu konsentrasi penyerang prolifik itu semasa cuba mengatasi asakan pemain pertahanan sehingga menyebabkannya terpaksa berehat seketika sebelum kembali menyambung sesi latihan.
Masalah tersebut bagaimanapun ternyata tidak menghalang Safee daripada mempamerkan aksi yang terbaik apabila masih berjaya menjaringkan satu gol semasa sesi latihan itu.
Malah, pengendali Bluebirds, Malky Mackay juga sudah pasti tidak memandang keupayaan Safee 'sebe- lah mata' apabila tonggak kebangsaan itu mula mendapat liputan meluas media tempatan yang menggelarkannya 'David Beckham Malaysia' sebaik menjejaki bumi England baru-baru ini.
Pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim yang mengesahkan kecederaan Safee berkata, masalah kecederaan itu bukanlah satu 'malapetaka' apabila Safee dilihat masih berupaya menjaringkan gol semasa sesi latihan tersebut.
"Safee mungkin sedikit tidak selesa dengan kecederaan kecil itu, terutamanya ketika melakukan percubaan semasa sesi latihan.
"Justeru, saya menyeru kepada semua peminat supaya mendoakan agar Safee kembali berada dalam keadaan terbaik, sekali gus dapat menonjolkan segala bakat yang beliau ada," kata- nya menerusi laman rasmi Facebook Safee semalam.
Safee yang berlepas ke bumi England, Isnin lalu dalam misi menjadi rakyat pertama Malaysia beraksi di sana selepas mendapat 'lampu hijau' daripada maji- kannya, Pelita Jaya.
Zakaria memberitahu, Safee juga setakat ini tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan, selain dilihat cepat serasi bersama pemain-pemain lain sepanjang sesi latihan.
"Selain itu, Safee juga tidak mendapat layanan isti- mewa kerana semua pemain dilayan sama rata ketika turun berlatih.
"Saya juga percaya ia mampu membantu meningkatkan corak permainan Safee selepas ini apabila berlatih bersama pemain- pemain Cardiff yang jauh lebih tinggi keupayaannya," katanya Zakaria yang mengakui peraturan di pusat latihan Cardiff agak ketat.
No comments:
Post a Comment