Monday, October 31, 2011

SENARAI JUARA LIGA MALAYSIA 2011

Piala Malaysia: Negeri Sembilan

Piala FA: Terengganu


Liga Super: Kelantan


Liga Perdana: PKNS


Liga FAM: NS Betaria


Piala Sumbangsih: Kelantan


Piala Presiden: Kelantan 

3 kunci Jang

MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pegawai dan pemain Negeri Sembilan meraikan kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2011 di Seremban, semalam.

Skuad Hobin bijak serap tekanan untuk pastikan trofi milik NS

TIGA individu - jurulatih Azraai Khor Abdullah, kapten Shukor Adan dan penyerang Hairuddin Omar menjadi kunci kejayaan skuad Hobin Jang Hobin menjulang Piala Malaysia selepas menewaskanTerengganu 2-1, kelmarin.
Azraai yang berpengalaman memacu kegemilangan Kedah muncul juara trebel 2007 dan 2008, bijak mengatur strategi kebangkitan selepas ketinggalan kepada jaringan awal Terengganu.


Shukor tetap dengan kerajinan dan suara lantang ketika menggerak jentera tengah sambil sesekali mengintai peluang jaringan hingga menyuntik motivasi enggan menyerah di kalangan rakan sepasukan.

Hairuddin pula yang sentiasa dibayangi kekangan kapten Terengganu, Marzuki Yusof, bijak mencari ruang terbuka untuk melibas cantik gol kemenangan NS.

NS berhak juara

TIRAI saingan Liga Malaysia 2011 berlabuh malam kelmarin dengan Negeri Sembilan membuktikan status jagoan ’kalah mati’ apabila muncul juara Piala Malaysia edisi ke-85 selepas menundukkan Terengganu 2-1 di Stadium Shah Alam. 
Negeri Sembilan mencipta sejarah tersendiri tampil dalam lima daripada 12 pentas final Piala Malaysia era milenium iaitu pada 2000, 2006, 2009, 2010 dan 2011 dengan memenangi dua daripadanya (2009 dan 2011). Satu lagi kejuaraan diraih pada 1948.

Tiga individu di sebalik kejayaan Negeri Sembilan turut melakar sejarah peribadi iaitu jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah yang meraih kejuaraan ketiga pada final keempat; kaptennya, Shukor Adan yang menjulang trofi keempat pada final ketujuh; serta penyerangnya, Hairuddin Omar yang menang semua empat final serta meledak gol pada tiga aksi final terakhirnya.

“Alhamdulillah, pemain dapat beraksi mengikut percaturan dan strategi yang dirancang. Kejuaraan ini juga secara peribadi membuktikan saya mampu membawa pasukan menjuarai Piala Malaysia tanpa pemain import,” kata Azraai yang membimbing Kedah menjuarai treble 2007 dan 2008.

Hairuddin, 32, pula berkata, sikap tidak berputus asa dan tak sanggup membayangkan perasaan andai tewas di final itu, membuatkan dia terus berusaha memburu gol kemenangan.

“Dari awal permainan, kami memiliki banyak peluang tetapi Terengganu lebih dulu mendapat gol. Kami tetap yakin dan tak jemu mencuba hingga minit terakhir,” kata pemain kelahiran Setiu, Terengganu itu.

Dengan Hairuddin masih belum membuat keputusan untuk menyambung kontrak musim depan, Azraai pantas berkata: “Makin tua kelapa, makin banyak santannya. Hairuddin masih antara penyerang terbaik. Kami sudah kemuka tawaran, terpulang kepadanya. Kami profesional, tapi harap dia akan kekal.”

Saingan musim 2012 dengan kehadiran semula pemain import bakal bermula dengan aksi Piala Sumbangsih, Kelantan bertemu Negeri Sembilan di Kota Bharu pada 7 Januari, diikuti aksi sulung Liga Super pada 10 Januari.


Pengajaran berguna Peteh

PEMAIN Terengganu yang terlepas peluang bergelar juara berganda musim ini selepas menjuarai Piala FA dan pencapaian baik naib juara Liga Super, harus mengambil pengajaran daripada kekalahan pada pentas final Piala Malaysia 2011 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

“Memang jentera serangan kami kurang menjadi pada babak pertama dan kami lambat panas. 

“Tetapi kami akan belajar daripada kesilapan ini,” kata penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat.

Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim pula menyifatkan gol penyamaan Negeri Sembilan yang dijaringkan S Kunanlan daripada gerakan yang tidak berbahaya, terus menjejaskan tumpuan anak buahnya.

“Gol penyamaan membunuh segala-galanya. Kami tak patut hilang tumpuan kerana boleh mengheret perlawanan ke masa tambahan. Tapi akibat leka dan alpa, kami melepaskan gol kedua.”

Pada aksi kelmarin, Ashari Samsudin meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-58 tetapi kecuaian penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli menangkap kemas sepakan Kunanlan membenarkan Negeri Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-80.

Negeri Sembilan memperoleh gol kemenangan menerusi sepakan libas Hairuddin Omar, lima minit sebelum tamat.

Kim Swee masih buntu kesebelasan utama


SHAH ALAM - Seminggu menjelang aksi bola sepak Sukan SEA, pengendali skuad Bawah 23 negara, Ong Kim Swee masih lagi tercari-cari kesebelasan terbaik akibat masalah kecederaan pemain.

Menurutnya, dia masih belum dapat menilai secara keseluruhan skuadnya selepas menang 4-1 dalam perlawanan persahabatan Laos di Stadium Shah Alam semalam.

"Saya cuma dapat menilai keseluruhan pasukan sehingga skuad negara berlepas ke Jakarta hujung minggu ini," katanya selepas selepas perlawanan semalam.

Jelasnya, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum beraksi pada perlawanan pertama menentang Singapura Isnin, terutama perwatakan pemain yang sering memandang rendah keupayaan pasukan lawan.

"Seperti yang kita dapat lihat hari ini pemain memandang rendah keupayaan lawan, sehingga membolehkan mereka mendahului 0-1.

"Jika ini berlaku ketika kita menentang pasukan yang kuat, sudah tentu sukar untuk bangkit.

"Saya perlu memastikan pemain tidak mengulangi perkara yang sama pada Sukan SEA nanti," katanya.

Pada perlawanan semalam, Malaysia ketinggalan pada minit ke-20 hasil jaringan Sangvone Phinmmasen sebelum bangkit pada separuh masa kedua melalui gol pemain pertahanan, Fandi Othman pada minit ke-62 dan dua gol dihasilkan oleh Syahrul Azwari Ibrahim minit ke-72 dan ke-72. Gol keempat disumbangkan A. Thamil Arasu minit ke-82.

Perlawanan terpaksa ditamatkan beberapa minit awal kerana hujan lebat apabila pemain tidak dapat meneruskan permainan akibat air bertakung hampir setiap penjuru padang.

Kim Swee tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama termasuk Gary Steven Robbat, Amer Saidin, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor manakala Abdul Shukor Jusoh hanya sempat beraksi kurang 30 minit akibat kecederaan dan sebelum ditukar dengan Irfan Fazail.

Skuad Bawah 23 negara yang akan beraksi pada Sukan SEA, akan diumum Rabu ini dan dijangka berlepas ke Jakarta dua hari selepas pengumuman tersebut.

Trofi diarak seluruh negeri


SEREMBAN - Kejayaan skuad Hoben Jang Hoben membawa pulang trofi Piala Malaysia ke Negeri Sembilan buat kali ketiga kelmarin, akan diraikan secara besar-besaran di seluruh negeri.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna dan mahu seluruh rakyat meraikan dan menyaksikan trofi tersebut dengan lebih dekat.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, PBNS merancang untuk mengarak trofi berprestij sukan 
bola sepak negara di setiap daerah negeri ini.

"Kejayaan ini satu kebanggaan buat Negeri Sembilan. Saya mahu seluruh rakyat dapat menyaksikan piala tersebut dari dekat, selain bertemu dan beramah mesra dengan pemain yang telah berjuang berhabis-habisan untuk membawa pulang piala ini.

"Sambutan berkenaan akan dibuat dalam tempoh terdekat dan kita akan pastikan ia disusun dengan dengan rapi,'' katanya pada majlis meraikan kepulangan pasukan Negeri Sembilan di Wisma PBNS, semalam.

Hampir 1,000 peminat Hoben Jang Hoben berkumpul di Wisma PBNS menyambut kepulangan skuad Negeri Sembilan yang menang 2-1 pada final Piala Malaysia ke atas Terengganu kelmarin.

Mohamad turut memberitahu, PBNS sedang berbincang berhubung habuan atau ganjaran yang akan diberikan kepada pemain di atas kejayaan membawa pulang Piala Malaysia untuk kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengucapkan terima kasih kepada Mohamad kerana memberi kepercayaan kepadanya memimpin skuad Rusa.

"Tanpa sokongan dan kepercayaan beliau, sudah tentu pasukan ini tidak dapat pergi jauh dan mendakap Piala Malaysia," katanya.

Usah salahkan sesiapa




Pemain Negeri Sembilan (jersi kuning) meraikan jaringan Hairuddin Omar sebaliknya pemain Terengganu ternyata amat kecewa apabila akhirnya kalah 1-2 pada perlawanan akhir Piala Malaysia, kelmarin. - UTUSAN/Noor Asrekuzairey Salim


KUALA LUMPUR - Tiada siapa yang harus dipersalahkan secara individu sebagai punca kekalahan 1-2 Terengganu kepada Negeri Sembilan dalam saingan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Itu pendirian pemain tengah skuad Penyu, Joseph Kalang Tie sambil menegaskan kekalahan kelmarin sewajarnya dijadikan pengajaran.

Dia menggangap keputusan yang mengecewakan itu disebabkan kesilapan sepasukan.
Joseph mengakui pasukannya leka sebaik sahaja mendapat gol pertama sehingga membolehkan pemain lawan menyamakan kedudukan.

"Kami tahu peminat marah dan kecewa. Selepas ini kami mahu memandang ke hadapan kerana kekalahan mengajar kita untuk bangkit semula.

"Bagi saya tiada siapa yang harus dipersalahkan kerana kami bermain sebagai satu pasukan dan ini adalah kesilapan pasukan," kata pemain kelahiran Miri, Serawak itu.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia kelmarin, penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli gagal mengekalkan kelebihan satu gol pasukannya, apabila gagal menangkap dengan kemas gol penyamaan Negeri Sembilan pada minit ke-81 hasil hantaran lintang S. Kunalan.

Gol kemenangan Negeri Sembilan hadir melalui rembatan penyerang Hairuddin Omar pada minit ke-86.

Dalam pada itu, Joseph, 24, mahu semua pasukan supaya menerima hakikat daripada keputusan yang diperolehi mereka pada perlawanan kelmarin.

"Bola itu bulat. Apa-apa boleh jadi kadang kala ada masa gembira dan sedih, kita wajar menerima hakikat apa yang berlaku malam ini (kelmarin)," kata Joseph.

Kunanlan tak sangka gol


SHAH ALAM - Niat S. Kunanlan cuma mahu melakukan hantaran silang kepada Hairuddin Omar, tetapi tanpa dijangka ia memberikan gol penyamaan Negeri Sembilan, yang menjadi detik kebangkitan mereka bergelar juara Piala Malaysia buat kali ketiga, kelmarin.

Dia mengakui bola sepakannya sepatutnya tidak menerjah gawang Terengganu jika tidak kerana kesilapan penjaga gol, Sharbinee Allawee.

"Sepatutnya bola sepakan saya mudah ditangkap penjaga gol namun keadaan padang yang licin mungkin membuatkan dia (Sharbinee) gagal menangkap bola tersebut.

"Saya langsung tidak jangka hantaran saya menghasilkan gol. Saya gembira kerana jaringan itu menjadi pembakar semangat kepada rakan-rakan untuk bangkit.

"Lebih menggembirakan ia menjadi detik kebangkitan kami menang ke atas Terengganu," katanya.

Terengganu mendahului aksi final di Stadium Shah Alam kelmarin hasil jaringan Asaari Samsudin pada minit ke-59 sebelum gol penyamaan Kunanlan pada ke-81 mengubah rentak perlawanan.

Bola lambung daripada Kunanlan gagal dibaca oleh Sharbinee yang kelihatan terkeluar sedikit daripada posisi, sebelum bola bergolek masuk ke dalam gol tanpa sempat ditampan keluar oleh penjaga gol berusia 24 tahun itu.

Kunanlan tetap menghormati kemampuan Sharbinee yang dianggap antara penjaga gol terbaik negara.

"Apa yang terjadi pada perlawanan hari ini, mungkin nasibnya kurang baik. Dia tetap antara penjaga gol terbaik negara, Saya tahu kemampuannya kerana pernah sama-sama dalam skuad kebangsaan," katanya.

'Jangan benci saya'




Pemain Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia di sekeliling stadium selepas memenangi perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, kelmarin.


KUALA LUMPUR - Gembira dalam sedih. Itu perasaan penyerang Negeri Sembilan, Hairuddin Omar atau Hai-O ketika memberikan kemenangan 2-1 kepada pasukannya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 menentang Terengganu di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Ini kerana dia gembira memberikan kemenangan buat pasukan yang diwakilinya ketika ini, namun dalam masa yang sama memahami kekecewaan penyokong negeri kelahirannya, Terengganu.

Ekoran itu, dia meminta penyokong skuad Penyu tidak membencinya kerana menjadi penyebab kekalahan Terengganu hasil jaringannya pada minit ke-86.

"Saya mohon maaf kepada semua penyokong Terengganu pada perlawanan hari ini (kelmarin) dan saya harap sangat agar mereka tidak membenci saya.

"Negeri Sembilan adalah majikan yang membayar gaji saya serta Terengganu adalah negeri asal saya. Saya terpaksa memberikan yang terbaik buat majikan saya untuk mendapatkan kemenangan ini," kata Hairuddin.

Sementara itu ditanya mengenai kontraknya bersama Negeri Sembilan akan tamat bulan depan, Hairuddin berkata dia masih belum pasti berhubung masa depannya.

"Tahun depan saya akan terus bermain cuma saya masih belum tahu hala tuju saya selepas kontrak tamat.

"Sama ada kekal atau berpindah, itu semua saya akan fikirkan selepas ini," jelasnya.

Sharbinee minta maaf




Pemain Terengganu kecewa setelah kecundang 1-2 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin. - UTUSAN/Izham Jaafar


KUALA TERENGGANU - "Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Terengganu terutama penyokong pasukan. Saya akui kesilapan yang saya lakukan. Saya minta maaf kerana gagal bawa balik trofi kali ini."

Demikian luahan penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee ekoran kekalahan 1-2 pasukannya kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Sharbinee mengakui kesilapannya membolehkan Negeri Sembilan menjaringkan gol penyamaan menerusi S.Kunanlan (minit ke-81) setelah Terengganu mendahului hasil jaringan Mohd. Ashaari Samsudin (minit ke-59), sebelum Hairuddin Omar meledak gol kemenangan skuad Rusa pada minit ke-86.

Menurut Sharbinee, dia sangat kecewa dengan kesilapannya memberikan gol mudah pada Negeri Sembilan.

"Nak buat macam mana, saya dah lakukan sedaya upaya tapi ia tetap berlaku. Saya sifatkan ini satu lagi pengalaman pahit saya. Saya anggap ini satu pengajaran buat saya untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang," ujarnya.

Mohd. Sharbinee dan pemain Terengganu tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Bekas penjaga gol kebangsaan berusia 25 tahun itu tidak menyalahkan keadaan permukaan padang sebagai punca dia melakukan kesilapan sehingga terlepas bola dari genggamannya.

"Ia memang kecuaian saya sendiri tapi ini semua dah lumrah dalam permainan. Saya kena terima (cemuhan orang), sudah lumrah kalau kita buat silap kita dikeji dan kalau beraksi baik dan cemerlang, kita dipuji," katanya.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti juga tidak menyalahkan Sharbinee sepenuhnya atas kekalahan pasukannya.

Katanya, para pemain Terengganu agak kurang fokus sehingga memberi peluang kepada Negeri Sembilan menyamakan kedudukan seterusnya mencipta jaringan kemenangan menerusi penyerang berpengalaman, Hairuddin Omar.

"Ketiadaan pemain pertahanan, Mazlizam Mohamad yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan kepala, turut menyukarkan kami," katanya.

Saturday, October 29, 2011

Senarai Penjaring Piala Malaysia 2011


8 GOL

Hairudin Omar (NS)

7 GOL

Abd Manaf Mamat (TRG)

6 GOL

Mohd Khayril Muhaymeen (KED)
Shahurain Abu Samah (NS)

5 GOL

Indra Putra Mahyuddin (TTeam)
Ashaari Shamsuddin (TRG)

4 GOL

Norshahrul Idlan Talaha (KEL)
Mohd Badri Radzi (KEL)
Norfadzly Alias (TTeam)
Mohd Failee Ghazali (PRK)
Shafiq Rahim (SEL)

3 GOL

Zainizam Marjan (SBH)
Yong Kuong Yong (KL)
Farderin Kadir (FELDA)
Syafiq Jamal (PRK)
Akhmal Mohd Noor (JFC)
Mohd Amri Yahyah (SEL)
Zairo Anuar Zailani (TTeam)
Norfarhan Mohamad (TTeam)
Mohd Fitri Omar (TTeam)

2 GOL

Reeshafiq Alwi (TRG)
Eddy Helmi Abdul Manan (JFC)
Mohd Fadzli Shaari (SEL)
Amirulhadi Zainal (SEL)
Rudee Ramli (SEL)
Ashadi Md Yusof (JOH)
Radzi Md Hussin (SBH)
Mohd Fauzan Dzulkifli (PKNS)
Bobby Gonzales (SWK)
Idris Karim (NS)
Shukor Adan (NS)
S.Kunalan (NS)
Azamuddin Akil (KEL)

1 GOL

Azmi Muslim (KED)
Baddrol Bakhtiar (KED)
Faizal Abu Bakar (KED)
K.Thanaraj (SBH)
Razlan Otto (SBH)
Rozaimi Abd Rahman (SBH)
Mohd Farid Ideris (SBH)
Alto Linus (SBH)
Mafry Balang (SBH)
Azuwad Arip (JOH)
Mohd Azuwad Md Arip (JOH)
Mohd Noraslan Mokhtar (JOH)
Mohd Redzuan Nawi (JOH)
Joseph Kallang Tie (TRG)
Ismail Faruqi (TRG)
Marzuki Yusof (TRG)
Mohd Norhafizuan (PKNS)
Mohd Zamri Hassan (PKNS)
Rajesh A/L Perumal (PKNS)
Mohd Firdaus Azizul (NS)
S.Chanturu (KEL)
Ramzul Zahini (KEL)
Daniel Fadzly Abdullah (KEL)
Badrul Hisham Azmi (KL)
Ahmad Hazwan Bakri (KL)
Mohd Shahrom Abdul Kalam (KL)
Mohd Badrul Hasani Abdul Rahman (TTeam)
Shamsul Kamal Mohamad (TTeam)
Nizam Abu Bakar (FELDA)
D.Saarvindran (FELDA)
Azrul Ahmad (FELDA)
K.Rajan (FELDA)
Izuan Jarudin (JFC)
Isma Aliff (PRK)
Mohd Raimi Mohd Nor (SIME)
Fauzi Abd Majid (PDRM)
Mohd Razman Roslan (SEL)

Gol Sendiri

Hamsani Omar (JFC)
Azrul Azman (PDRM)
Mohd Fauzi Nan (KED)


Akhir Piala Malaysia 2011


Akhir
Oktober 29, 2011 (Sabtu)
Terengganu
Ashaari Shamsuddin

1 - 2
Negeri Sembilan
S.Kunalan
Hairudin Omar
8.45mlm
Std Shah Alam


NEGERI SEMBILAN JUARA PIALA MALAYSIA 2011



Friday, October 28, 2011

Protes harga tiket mahal: Laman web FAM digodam


KUALA LUMPUR 28 Okt. – Laman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah digodam pihak tidak bertanggungjawab, awal pagi ini.

Laman web itu, www.fam.org.my difahamkan tidak lagi berfungsi seperti biasa, sebaliknya telah mempamerkan logo FAM yang diubah suai dengan meletakkan imej ‘khinzir’ dan turut dimasukkan rakaman dua rakaman video berbau provokasi.

Selain itu, laman web yang digodam dengan latar belakang warna merah itu turut menyelitkan satu artikel dari sebuah akhbar tempatan (bukan terbitan Utusan Malaysia) bertajuk ‘Harga tiket RM50 wajar’.

Kata-kata herdikan yang menggunakan bahasa kesat turut diselitkan pada laman yang digodam
itu.

Provokasi terbaru ini difahamkan wujud akibat kenaikan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu, Sabtu ini. – Utusan

Wednesday, October 26, 2011

'Kaji semula harga tiket final'





MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula harga tiket final Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Menurut Ahmad Shabery, harga tiket untuk semua tempat duduk itu dianggap mahal bagi peminat-peminat bola sepak yang kurang berkemampuan.
Katanya, harga tiket RM50 berbanding RM30 yang dijual pada aksi final Piala Malaysia sebelum ini adalah satu peningkatan yang mendadak.
"Bagi mereka yang datang seorang mungkin tidak ada apa-apa tetapi bagi mereka yang datang satu keluarga adalah melibatkan jumlah kos yang besar.
"Mungkin sebelum ini mereka hanya perlu membayar sebanyak RM150 untuk lima orang, tetapi sekarang RM250," kata Ahmad Shabery di Menara KBS di Putrajaya semalam.
Ahmad Shabery berkata, beliau sudah maklum perkara itu telah dipersetujui oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
"Saya tidaklah begitu kecewa sekiranya harga tiket ini diumumkan lebih awal, tetapi bila dah masuk final keghairahan peminat sukan akan terhenti.
"Lebih-lebih lagi apabila bermain di Stadium Shah Alam yang orang ramai tahu mutu padang itu rendah," ujarnya.
Di Seremban, PBNS turut menegaskan bahawa harga tiket RM50 itu membebankan para penyokong.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PBNS tidak bersetuju dengan harga yang ditetapkan kerana ia jelas melonjak dari harga tiket final Piala Malaysia musim lepas.
"Kita sendiri di peringkat PBNS tak setuju dengan harga tiket yang melonjak dari RM30 kepada RM50. Ramai yang meminta saya campur tangan, tetapi itu bukan bidang kuasa saya.
"Venue dan harga tiket, semua itu FAM yang tentukan, tetapi keputusan telah dibuat," katanya.
Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan turut kesal dengan tindakan FAM menaikkan harga tiket final Piala Malaysia musim ini.
Timbalan Presidennya, Mohd. Faidzul Mohd. Noh menyifatkan ia sesuatu yang membebankan peminat dan penyokong.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, harga tiket itu dianggap wajar kerana FAM terpaksa menanggung beberapa kos termasuk bayaran kepada pihak stadium selain beberapa faktor lain.

Jangan harap!


Shahurain Abu Samah
Shahurain Abu Samah
Shahurain yakin NS bukan mangsa Terengganu 

JANGAN riak!
Demikian ingatan sayap lincah Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah buat Terengganu yang mendabik dada menyifatkan Piala Malaysia bakal menjadi milik mereka sebaik menempah tiket final Sabtu ini.
Pemain kelahiran Kajang yang lebih mesra dengan panggilan ‘Kecik’ itu menegaskan Terengganu harus ‘melangkah mayat dia dan rakan-rakannya’ terlebih dulu andai mahu menjulang piala keagungan itu. 

“Mungkin Terengganu berbangga dapat menumbangkan juara bertahan, Kelantan dan pasukan gergasi, Selangor dalam laluan ke final, tetapi kami tidak akan menjadi ‘mangsa ketiga’ mereka,” katanya sejurus latihan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, semalam. 

Shahurain yang akan tampil dalam final ketiga berkata, dia sendiri akan berusaha menyumbat gol sekali lagi pada penampilan Sabtu ini, selepas melakukannya ketika membantu Negeri Sembilan menamatkan penantian 61 tahun piala itu dengan menundukkan Kelantan 3-1 pada final 2009. 

Shahurain juga merobek gawang Kelantan pada final tahun lalu tetapi gagal membantu skuad Hoben yang tunduk 2-1, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan.

“Saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol kerana yang penting ialah Negeri Sembilan menang. Jika ditakdirkan dapat menyumbat gol sekali lagi, ia adalah satu bonus,” katanya yang bersemangat selepas dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang India, bulan depan. 

Pengusaha bas pula 'cekik darah'


KUALA TERENGGANU - Sebilangan pengusaha bas di negeri ini yang turut mengambil kesempatan menaikkan kadar sewa sekali ganda bagi perkhidmatan membawa penyokong ke Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Jurucakap Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd. Rahim Wan Salleh berkata, sikap 'cekik darah' itu sangat mengecewakan, tidak sepatutnya timbul malah mereka seharus bersama-sama membantu meramaikan bilangan penyokong di stadium.

Katanya, ia boleh mematikan keghairahan peminat, menghampakan mereka yang turut dibebankan dengan kenaikan melampau harga tiket perlawanan.

Kelab itu memohon campur tangan pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bagi menyiasat rungutan berkenaan dan dalam masa yang sama pihaknya merayu kepada pihak pengusaha bas untuk lebih bertimbang rasa.

"Sebelum ini, kadar sewa semasa kira-kira RM2,000 untuk sebuah bas, lepas itu naik kepada RM3,000 dan kini mencecah sehingga RM4,000," ujarnya di sini semalam.

Tambah Wan Mohd. Rahim, walaupun masa sudah singkat, pihaknya masih mengharapkan ada perkembangan positif berkaitan perkara ini.

"Bukan selalu peristiwa ini datang. Kita tidak mahu, perlawanan bola sepak menjadi satu perkara 'mahal' kepada rakyat kerana mereka hanya mahu melihat jaguh mereka bermain dan memberi sokongan," katanya.

Sementara itu katanya, Peteh akan menyediakan sekurang-kurangnya 10 buah bas untuk membawa rombongan ke perlawanan itu dan akan berusaha untuk mendapatkan kadar sewa bas yang terbaik untuk penyokong.

Ultras Tranung dan Ultras Nogori boikot perlawanan akhir


KUALA LUMPUR - Ultras Tranung (Terengganu) dan Ultras Nogori (Negeri Sembilan) mengambil keputusan untuk memboikot perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-45 kerana harga tiket yang disifatkan cekik darah.

Menurut satu status laman sosial Facebook Ultras Tranung, kenaikan itu sangat membebankan, terutama bagi penyokong yang tidak pernah ketinggalan pergi ke stadium sepanjang musim untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Walaupun ada berita mengatakan kerajaan negeri memberi subsidi kepada penyokong Terengganu, namun kami mengambil pendirian tidak sanggup 'makan' duit rakyat Terengganu yang berhak.

"Pendirian Ultras Tranung ialah tidak akan tunduk kepada harga cekik darah yang dikenakan dan akan memboikot sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menurunkan harga," katanya.

Sementara itu, seorang jurucakap UN9 (Ultras Negeri Sembilan) yang dikenali sebagai Carlas berkata, mereka akan hadir ke Stadium Shah Alam Sabtu ini bersama 200 ahlinya, namun tidak akan masuk ke dalam stadium.

"Kami akan menyanyi dari luar stadium untuk menyokong skuad Rusa dan menggantung kain rentang membantah kenaikan tiket.

"Pada hari ini, di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, kami juga membuat tindakan sama apabila pergi ke kaunter jualan tiket namun tidak membeli sebaliknya menggantung kain rentang mengutuk harga tiket yang melampau," katanya.

Penyokong N. Sembilan turut bantah



Pasukan Negeri Sembilan menjalani latihan ringan dalam persiapan menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Terengganu, Sabtu ini. - BERNAMA


SEREMBAN - Rata-rata penyokong Hoben Jang Hoben menyifatkan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dengan Negeri Sembilan pada kadar RM50 sebagai amat membebankan peminat.

Bagi Khairulzzaman Mohd. Yusof, 31, keputusan FAM menjual tiket pada harga tersebut terlalu membebankan penyokong dan melampau.

"Saya tidak setuju kerana kos tersebut terlalu tinggi, mereka tidak sepatutnya jual pada harga begini. Kami bukannya orang senang.

"Nilai RM50 amat besar buat kami yang berpendapatan kecil, tolong jangan tekan rakyat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di sini semalam.

Tambah S. Anand Raj, 32, FAM seharusnya mengkaji terlebih dahulu kemampuan orang ramai sebelum menetapkan kadar tiket tersebut.

"RM50 terlalu mahal, saya terpaksa mengeluarkan belanja hampir RM500 untuk bawa keluarga saya ke Shah Alam, kos tiket saja RM300, itu tidak termasuk kos pengangkutan, tol serta makan minum.

"Tetapi apa boleh buat, saya memang peminat setia Negeri Sembilan, terpaksalah tanggung beban sedikit," ujar Anand yang menyifatkan kadar RM35 sudah memadai untuk dikenakan kepada penyokong.

Menurut seorang lagi penyokong skuad Rusa, Farizi Mohd, 20, dia terkilan dengan tindakan FAM itu serta beranggapan penetapan harga itu sebagai 'mencekik darah'

"Penyokong yang ke stadium ini terdiri di kalangan orang yang berpendapatan sederhana bukannya orang kaya, maka mereka tidak patut buat macam ini.

"Ramai rakan-rakan saya yang tidak dapat pergi ke stadium kerana harga tiket ini, kerana ada di kalangan mereka yang masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan," katanya.

Seorang lagi peminat, Siti Hadayu Nasharidan, 16, berkata, harga tersebut terlalu membebankan penyokong.

"Saya agak sedih kerana harga tiket ini terlampau mahal, sudahlah tiket mahal lambat pula dijual," katanya yang menunggu penjualan tiket sejak dari 10 pagi hingga 5.30 petang.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di Wisma PBNS mendapati sekumpulan penyokong bertindak berkumpul membantah serta mengedarkan risalah kepada penyokong lain supaya memboikot penjualan tiket akhir perlawanan akhir Piala Malaysia itu.

Penjualan tiket juga didapati kurang mendapat sambutan daripada orang ramai berbanding tahun lalu.

Sementara itu, Pengurus PBNS, Datuk Abdul Halim Abdul Halif memberitahu, FAM memperuntukkan sebanyak 30,000 keping tiket akhir untuk dijual di Negeri Sembilan yang bernilai mencecah RM1.5juta.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...