SELEPAS memperoleh gol keramat ketika menentang Johor FC di Stadium Perak, malam kelmarin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap mampu menyumbangkan gol untuk Perak dalam setiap perlawanan Liga Super, selepas ini.
“Saya diambil untuk menjaringkan gol. Justeru, itulah yang akan saya lakukan. Jika boleh saya mahu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan,” kata penyerang itu mengulas jaringannya di saat akhir perlawanan yang membantu kejayaan Seladang, malam kelmarin.
Perlawanan itu nampak menuju keputusan seri selepas tamat 90 minit permainan sebelum bekas penyerang kebangsaan itu meledakkan rembatan melepasi jangkauan penjaga gol pelawat, Mohd Anis Faron selepas menerima bola dari Shafiq Jamal. Kebuntuan jaringan itu menyaksikan segelintir daripada 8,000 penonton yang hadir di Stadium Perak mula berjalan keluar tetapi Akmal pasti membuatkan mereka sedar bahawa perlawanan bola sepakhanya berakhir apabila pengadil meniupkan wisel penamatnya.
Akmal, 29 mengaku sebelum itu dia dihimpit keresahan selepas gagal memanafaatkan peluang yang diperolehnya menyebabkan ramai peminat kecewa.
Menurut pemain itu, tuan rumah mencipta banyak peluang dan sepatutnya mampu memenangi perlawanan dengan jurang lebih besar jika berjaya menterjemahkan peluang yang diperoleh.
“Saya kecewa dan berasa tertekan apabila gagal menyempurnakan peluang. Saya sedar harapan peminat cukup tinggi dan ini membuatkan kami ingin sangat untuk menang malam ini. “Berikutan itu saya terus merembat ke arah gawang sebaik mendapat bola dari Shafiq. Saya gembira dapat menjaringkan gol tetapi lebih penting ialah kejayaan Perak,” katanya.
Akmal berkata, kesungguhan dan kerja keras setiap pemain faktor utama membantu kejayaan Seladang yang turun dengan azam menebus kehampaan gagal mengutip mata penuh di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment