KELMARIN adalah detik malang bagi Felda United apabila tumbang 0-1 kepada Kedah di Stadium Darulaman serta penjaga gol mereka, Mohd Hamsani Ahmad dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan.
Namun, semua itu tidak menerbitkan rasa marah jurulatih Felda United, E Elavarasan, sebaliknya beliau menyifatkan perlawanan kelmarin sama rata dan sesiapa saja yang memanafaatkan peluang dengan baik, pasti beroleh kemenangan.
Meskipun tewas, Elavarasan tetap menghamburkan pujian kepada anak buahnya apabila berjaya menyekat kemaraan Kedah yang beraksi di halaman sendiri dan hanya jaringan penalti Baddrol Bakhtiar pada minit ke-61 mengubah keadaan sekali gus memberi kemenangan mutlak kepada Kedah.
“Apabila Kedah mendapat sepakan penalti, pastinya mereka tidak mensia-siakan peluang itu tetapi saya tetap menganggap perlawanan itu sama rata.
“Saya tidak kecewa dengan kekalahan ini kerana barisan pemain mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan yang kita sendiri tak dapat nak jangka sama ada menang atau kalah.
“Ini baru perlawanan kedua kami di saingan Liga Super dan saya percaya setiap pemain akan semakin matang mengharungi perlawanan seterusnya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengenai hukuman dikenakan ke atas Mohd Hamsani, Elavarasan berkata, apa saja boleh berlaku ketika perlawanan dan tempatnya itu akan digantikan Mohammad Faizal Abdul Rashid.
Yang pasti, Elavarasan mengharapkan anak buahnya beraksi lebih baik pada perlawanan menentang Pahang sekali gus cuba untuk mengutip tiga mata penuh.
Felda United yang muncul juara Liga Perdana musim lalu, kini menduduki kelompok empat tangga terbawah liga selepas dua perlawanan.
No comments:
Post a Comment