Monday, September 5, 2011

Perak perit tanpa lima tonggak


MENGHARUNGI saingan Piala Malaysia bermula esok tanpa lima tonggak utama pastinya satu tugas berat buat jurulatih Perak, Norizan Bakar.

Kelima-lima pemain, Mohd Syazwan Mohd Roslan, Shahrulnizam Mustapa, Azmeer Yusof, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd Nasril Nourdin digantung dan denda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil selepas perlawanan Liga Super dengan Sabah di Stadium Lumut 19 Mei lalu serta kelewatan menjawab surat pertuduhan.

Akibatnya, kelima-lima pemain digantung tujuh perlawanan sejak 18 Julai lalu dan bakal terlepas aksi awal Piala Malaysia.


Namun Norizan tetap tabah menghadapi dugaan itu dengan menyatakan beliau akan menggunakan pemain sedia ada dalam mengharungi saingan awal Piala Malaysia.

“Mahu tidak mahu, kita perlu menggunakan pemain sedia ada. Apapun, saingan di Piala Malaysia agak berbeza kerana apa saja kejutan boleh berlaku.

“Kami tidak mahu memberi alasan ketiadaan lima pemain ini akan menjejaskan prestasi kami, sebaliknya kami akan cuba sebaik yang mungkin untuk mara lebih jauh dengan pemain sedia ada,” katanya.



Pada saingan Piala Malaysia, Perak diundi dalam Kumpulan A bersama Kedah, Sabah serta Johor.

Menjelang pertemuan pertama dengan Sabah, Norizan berkata, anak buahnya akan cuba meraih mata bagi membolehkan mereka melangkah lebih jauh pada saingan itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...