Nazmi Faiz Mansor menjalani latihan di padang Wisma FAM Kelana Jaya semalam, sebagai persediaan untuk latihan dan aksi persahabatan di Australia. - UTUSAN/Shahril Azman Zain |
PETALING JAYA - Pemain muda berbakat, Nazmi Faiz Mansor tidak mahu tenggelam dalam populariti sekelip mata yang dikecapinya selepas membantu skuad bola sepak negara mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA XXVI baru-baru ini.
Populariti pemain kelahiran Kuala Lumpur itu semakin memuncak selepas menjaringkan gol cantik menentang Bahrain dalam perlawanan kelayakan Olimpik baru-baru ini, sehingga disenaraikan oleh laman webwww.101greatgoals.com antara 10 gol tercantik pada minggu tersebut.
Apa yang pasti, biarpun berstatus 'superstar muda', Nazmi, 23, tidak mahu hanyut dalam populariti sebaliknya hanya fokus untuk mengembangkan bakatnya ke peringkat yang lebih tinggi.
Nazmi juga tidak mempedulikan soal remeh yang lain termasuk gosip dengan artis tempatan walaupun mengakui terkejut dengan sambutan menggila peminat bola sepak negara terutamanya peminat wanita.
"Pada mulanya saya terkejut dengan perkara ini tetapi saya sudah tanamkan diri agar tidak cepat berpuas hati sebaliknya terus fokus kepada prestasi saya di atas padang.
"Jurulatih Ong Kim Swee juga memberikan nasihat supaya seboleh-bolehnya saya tidak melayan perkara yang tiada kaitan dengan bola sepak," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad bawah 23 negara di Wisma FAM semalam.
Populariti Nazmi menyebabkan pemain itu digosip dengan pelakon muda baru-baru ini.
Nazmi mempunyai dua akaun laman sosial facebook yang dibuka oleh peminatnya.
Selepas perlawanan menentang Bahrain yang menyaksikan Malaysia tewas 2-3 baru-baru ini, kedua-dua akaun facebook pemain tersebut menjangkau lebih 60,000 pengunjung.
Mengenai cita-cita besar dalam kariernya, Nazmi berkata dia mahu beraksi di luar negara.
Dia yang dikatakan mempunyai iras pemain antarabangsa Brazil, Kaka berkata, dia tidak kisah beraksi luar negara termasuk di Indonesia, seperti mana yang dilakukan oleh penyerang skuad senior, Safee Sali.
"Sekarang saya perlu mempersiapkan diri dan mencari jalan penyelesaian agar kekejangan otot yang sering dialaminya sejak di tingkatan dua lagi mampu sembuh secepat mungkin," katanya.
No comments:
Post a Comment