JODOH penyerang import Liga Super T-Team, Zachariah Simukonda akhirnya terlerai apabila kontraknya bersama pasukan itu ditamatkan selepas aksi kurang bertenaga dalam lima perlawanan, selain mengalami kecederaan berpanjangan.
Jurulatih Yunus Alif berkata, antara faktor utama pemain 28 tahun itu terpaksa dilepaskan adalah akibat kecederaan yang dialami pada separuh masa kedua ketika menentang Selangor dan dia dijangka memerlukan lebih empat minggu untuk pulih.
“Kami tidak boleh menunggu begitu lama dan pengurusan membuat keputusan untuk mencari penyerang baru sebelum tamat tempoh pendaftaran pemain import, 13 Februari ini.
“Beberapa pemain dijangka menghadiri sesi pemilihan esok (hari ini) dan panel pemilih akan membuat keputusan dalam masa terdekat,” katanya kepada Berita Harian selepas mesyuarat pengurusan pasukan, semalam.
Yunus berkata, bukan kekalahan dua kali berturut-turut kepada Terengganu dan Selangor menjadi penyebab khidmat pemain kelahiran Zambia itu ditamatkan, cuma kecederaan lutut dan paha dialaminya menjadi penghalang.
Menurutnya, Simukonda sudah melakukan yang terbaik ketika mewakili T-Team, walaupun ramai peminat berpendapat persembahan bekas pemain Red Arrows FC di Lusaka, Zambia, itu kurang bermutu.
“Ramai yang menjadikannya bahan ketawa, namun kita perlu menghargai sumbangannya termasuk jaringan sulungnya ketika bertemu Kuala Lumpur. Mungkin dia belum serasi dengan Fadzly (Saari) dan Faiz (Subri),” katanya.
Yunus bagaimanapun berpuas hati dengan kekentalan benteng pertahanan diketuai pemain Bosnia dan Herzegovina, Bojan Petric dan kehadiran semula Rosdi Talib dan Shahril Faizal akan mengembalikan kekebalan seperti tiga perlawanan awal apabila penjaga gol, Iqbal Suhimi, gagal dibolosi.
“Bahagian tengah juga mantap setakat ini dengan Zairo (Anuar Zailani) sebagai kapten menunjukkan komitmen tinggi sehingga menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan setakat ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment