Wednesday, February 1, 2012

Ultras boikot Darulaman


Harian Metro

PRESTASI skuad Kenari yang mengecewakan sejak sepak mula Liga Super 2012 mengakibatkan penyokong Ultras Kedah mengambil keputusan drastik dengan memboikot semua perlawanan membabitkan pasukan Hijau Kuning yang berlangsung di Stadium Darulaman.





Jurucakap Ultras Kedah berkata, keputusan memboikot semua perlawanan yang diadakan di negeri itu selepas kecewa dengan kelemahan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk membentuk pasukan mantap bagi saingan Liga Super 2012.

“Kami bukan memberi tekanan kepada pemain kerana kami terus komited memberikan sokongan kepada mereka sebaliknya usaha boikot ini ditujukan kepada pengurusan bola sepak negeri.




“Namun, kami akan berkunjung ke stadium lain membabitkan perlawanan skuad Kenari dan langkah ini sebagai tanda kami memprotes tindakan acuh tidak acuh pengurusan dalam menyediakan pasukan bola sepak yang mantap,” katanya dalam kenyataan akhbar di Alor Setar, Kedah, semalam.

Beliau berkata, tindakan itu bermula pada perlawanan Kedah menentang Sabah pada 11 Februari ini di Alor Setar.


Menurutnya lagi, pada saingan Piala Malaysia yang lalu, mereka masih gagal membentuk sebuah pasukan yang mampu memberi saingan terhadap pasukan lain dan hebahan berhubung tindakan memboikot itu juga sudah dilakukan di laman rasmi Ultras Kedah 2009.





“Berdasarkan hebahan itu, seramai 1,555 orang ahli sebulat suara setuju dengan tindakan memboikot perlawanan yang diadakan di negeri ini.

“Kami tidak akan meninggalkan terus pasukan ini tetapi hanya menunggu di luar stadium selama 90 minit dan akan hadir memberi kata-kata semangat ketika sesi latihan,” katanya.




Pada masa sama, Ultras Kedah menggesa keseluruhan barisan kepimpinan KFA termasuk Presiden mengambil serius berhubung perjalanan pasukan bola sepak negeri ini.

Katanya, tindakan itu tidak akan menghalang orang ramai yang akan berkunjung ke stadium memberi sokongan sebaliknya Ultras Kedah hanya akan menarik balik keputusan boikot itu selepas majoriti puas hati terhadap pengurusan termasuk menuntut satu tindakan proaktif diambil bagi mengembalikan kegemilangan pasukan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...