Tuesday, September 6, 2011

Hairuddin dahaga gol


SELEPAS aksi kurang memberangsangkan sebelum ini, bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar sedia menjadi pencetus kebangkitan Negeri Sembilan apabila pasukan itu menentang Selangor PKNS, dalam aksi pembuka tirai saingan Piala Malaysia, di Stadium Petaling Jaya, malam ini.

Pemain berpengalaman berusia 32 tahun itu mengakui dia kini amat dahagakan jaringan gol selepas gagal menyerlah pada aksi saingan Liga Super dan Piala FA lalu,berikutan masalah kecederaan dialaminya.

Namun selepas kecergasannya kini kembali pulih, dia bertekad mahu menjadikan saingan Piala Malaysia sebagai medan menyerlahkan kembali kehebatannya dalam misi membantu Negeri Sembilan melakar kejayaan lebih gemilang.


“Saya akui persembahan ketika saingan Liga Super dan Piala FA tempohari agak terbatas kerana kecederaan tetapi kini saya sudah bersedia untuk diturunkan selepas bebas daripada masalah itu.

“Saya berjanji memberikan persembahan terbaik demi membantu Negeri Sembilan mencapai kemenangan ke atas Selangor PKNS, malam esok (ini) dan berharap dapat berada dalam kesebelasan utama untuk merealisasikan sasaran itu,” katanya semalam.

Hairuddin yang membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia pada 2009, mengakui pasukannya itu bakal berhadapan cabaran berliku kerana Selangor PKNS bukan pasukan belasahan sebaliknya mereka hadir selaku juara Liga Perdana musim ini.



Justeru katanya, pemain Negeri Sembilan tidak boleh bersikap terlalu optimis untuk mencapai kemenangan kerana pasukan lawan sudah pasti mahu mencipta kejutan hasil kejayaan menjuarai Liga Perdana musim ini.

“Walaupun Selangor PKNS dari pasukan Liga Perdana, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka, sebaliknya perlu sentiasa berwaspada dan tidak melakukan banyak kesilapan yang membawa padah.

“Tambahan pula kami beraksi di gelanggang lawan yang memerlukan komitmen lebih tinggi dan fokus sepanjang tempoh 90 minit perlawanan bagi menjamin keputusan yang baik dapat dicapai,” katanya.

Begitupun Hairuddin akui ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, sudah merangka strategi mantap untuk saingan malam ini demi memastikan suatu keputusan memuaskan dapat dicapai.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...