PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi amaran supaya pasukan negeri dan kelab menyegerakan pendaftaran pemain bagi saingan musim 2012 selewat-lewatnya esok.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, setiap pasukan negeri dan kelab perlu mematuhi tarikh akhir yang telah ditetapkan.
"Kita sedang memartabatkan tahap profesionalisme dalam bola sepak tempatan, jadi setiap pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia perlu sedar akan masalah ini kerana ia bukan perkara baru," katanya dalam sidang akhbar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FAM dan Sanofi semalam.
Jelasnya, masalah kelewatan mendaftar pemain berlaku hampir setiap tahun, walaupun sudah diberitahu lebih awal tentang tarikh akhir pendaftaran.
Akibatnya, ujar beliau persatuan atau kelab sering mengemukakan rayuan penangguhan.
"Pasukan yang tidak mengendahkan tarikh akhir pendaftaran pemain sering kali meminta agar tarikh akhir dilanjutkan.
"Sedangkan kita sudah memberi masa yang cukup dan mereka perlu melakukan kerja dengan lebih profesional.
"Perkara ini berlaku setiap tahun jika mereka melakukan tugas dengan penuh profesional saya rasa ia tidak menjadi masalah.
"Alasan kekurangan masa kerana ingin mencari pemain import terbaik, tidak berasas," katanya.
Azzuddin berkata, setiap pasukan harus mengikuti perkembangan dan informasi yang diberikan oleh FAM yang mengumumkan tarikh akhir pendaftaran pemain telah dimaklumkan sejak Ogos lalu.
No comments:
Post a Comment