Saturday, September 10, 2011

Bayar gaji atau lupakan Liga M


PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kata dua kepada pasukan negeri dan kelab untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain sehingga 31 Oktober ini atau tidak dibenarkan beraksi dalam Liga M musim depan.

Pengerusi Jawatan kuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Amin menegaskan, FAM menetapkan tarikh akhir berbuat demikian pada 31 Oktober ini.

"Saya harap pasukan yang masih belum menyelesaikan masalah pembayaran gaji kepada pemain mengambil berat tentang perkara ini kerana ia terkandung dalam perkara empat JKPT," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT, semalam.

Jelasnya, jika ada pasukan yang gagal menyelesaikan pada tarikh tersebut berkemungkinan besar tidak dapat beraksi dalam saingan liga tempatan berikutan tarikh pengesahan pendaftaran pasukan untuk musim baru 2012 adalah pada 31 Oktober.

"Kami merasakan ini adalah satu perkara yang serius dan FAM tidak teragak-agak untuk menghalang pasukan yang mempunyai masalah tersebut daripada mengambil bahagian pada saingan musim depan.

"Saya rasa ia boleh menjadi contoh kepada pasukan lain dan dalam masa yang sama FAM mahu menjaga kebajikan pemain demi kebaikan bola sepak Malaysia. Pindaan tersebut membuktikan FAM memberi ruang kepada pasukan yang terlibat," ujarnya.

Jawatan kuasa tersebut juga membuat pindaan jadual suku akhir sehingga perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 kerana memberi ruang kepada aksi persahabatan pasukan kebangsaan menentang Australia di Sydney pada 7 Oktober ini.

"Perlawanan suku akhir pertama diadakan pada 10 Oktober, suku akhir kedua 14 Oktober manakala separuh akhir pertama 18 Oktober, separuh akhir kedua 22 Oktober dan final pada 29 Oktober.

"Sementara itu pemain yang terpilih untuk mewakili skuad bawah 23 tahun negara di Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) dari 17 hingga 24 Oktober tidak dibenarkan untuk beraksi dengan pasukan masing-masing jika pasukan yang diwakili mereka mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia," kata Hamidin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...