Saturday, September 10, 2011
Felda, KL bukan lagi kerdil
KUALA LUMPUR - Felda United dan Kuala Lumpur mempunyai dua persamaan - selain berpangkalan di ibu kota, kedua-duanya menjadi pasukan bukan pilihan yang disebut-sebut pemerhati bola sepak tanah air sebagai 'bakal pemusnah gergasi' Piala Malaysia.
Aksi sulung masing-masing Sabtu lalu menonjolkan langkah meyakinkan mereka dan tanggapan bahawa semangat dan suasana memburu trofi berprestij negara itu berbeza daripada Liga Super dan Piala FA, kian jelas kebenarannya.
Sekalipun dengan hanya kemenangan awal 2-0 ke atas Johor FC, penolong pengurus Felda United, Faisal Zakariah menjangkakan kebangkitan pemain senior dan berpengalaman mampu mempengaruhi prestasi mana-mana pasukan yang memilikinya.
"Saya dapati setiap kali munculnya Piala Malaysia, prestasi pemain senior akan turut menyerlah sekali dan Felda United berharap beberapa tonggak kami yang seangkatan Hairuddin Omar, Shukor Adan atau Indra Putra Mahayuddin akan mengikut jejak mereka itu.
"Kami memiliki Liew Kit Kong, Nizaruddin Yusof dan Kaironnisam Sahabudin Hussain mahupun Azi Shahril Azmi, jadi saya rasa mereka akan bangkit lebih baik daripada prestasi sederhana kami dalam Liga Super lalu," katanya.
Mengenai Sarawak, lawan anak buah E. Elavarasan di Stadium Petaling Jaya, kata Faisal, kehadiran tenaga muda terutama yang dipinjam dari skuad Harimau Muda, tidak akan sesekali diabaikan untuk digandingkan dengan tonggak senior.
"Bersama Farderin Kadir (penjaring dua gol di Pasir Gudang, Selasa lalu, saya menganggap mereka mampu membentuk pasukan yang bercirikan kemenangan walaupun kami tidak sesekali memperkecilkan Sarawak (naib juara Liga Perdana musim ini)," katanya.
Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail menyifatkan anak buahnya kian bersemangat untuk menyambung langkah cemerlang di Paroi, Selasa lalu dengan mengejutkan T-Team di Selayang pula.
"Dibandingkan dengan lawan yang memiliki Indra Putra, Zairo Anuar Zailani, Nor Farhan Muhammad, Norfazly Alias yang berpengalaman antarabangsa, memanglah pemain kami kurang setanding apatah lagi mereka turut meminjam pemain MP Muar.
"T-Team juga sudah menewaskan (juara 32 kali,) Selangor 1-0 dan saya berasa lebih selesa jika kami terus dilabel sebagai pasukan bukan pilihan tetapi bukan bererti lawan boleh diberi laluan mudah. Kami tetap menjanjikan tentangan sengit buat pelawat," katanya.
Razip juga percaya gandingan anak buahnya yang mencipta kemenangan 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia di Paroi, bakal dikekalkan biarpun ada seorang dua daripadanya yang mengalami kecederaan yang tidaklah begitu membimbangkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment