Wednesday, September 7, 2011

Perlu bukti kemampuan


AKSI persahabatan menentang kelab Iraq, Al-Arbil malam esok menjadi medan terakhir buat pemain Olimpik negara membuktikan kebolehan dan kemampuan mereka kepada jurulatih Ong Kim Swee bagi merebut 21 tempat ke Jepun untuk mengharungi perlawanan pembukaan Kumpulan C, pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2012 Zon Asia.

Sejumlah 22 pemain kini giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya dengan tiga lagi pemain Olimpik negara beraksi bersama kelab Slovakia, FC Vion iaitu Wan Zack Haikal Wan Noor, Irfan Fazail dan Mohd Fadhli Shas.

Pengendali terbabit yang sebelum ini membimbing skuad Olimpik negara menyingkirkan Pakistan dan Lubnan menjelaskan kesempatan menentang kelab yang layak beraksi pada suku akhir Piala AFC itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberikan peluang kepada semua pemain beraksi pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di padang Wisma FAM itu.


“Keputusan perlawanan terbabit tidak penting dan menjadi ukuran kerana prestasi pemain adalah lebih penting apabila mengharungi aksi kompetitif seperti ini (peringkat kumpulan kelayakan Olimpik 2012). “Saya akan memberi peluang kepada semua pemain,” katanya semalam.

Bayangan kesebelasan utama skuad Olimpik negara juga mungkin hanya akan diketahui pada aksi persahabatan menentang skuad Olimpik Oman pada 15 September ini dengan Kim Swee menyatakan beliau akan menggunakan sekurang-kurangnya 15 pemain yang juga persediaan terakhir sebelum bertandang ke Jepun. “Setiap kali pemain turun beraksi, prestasi mereka perlu ditingkatkan dan ia diharapkan dapat mencapai tahap maksimum apabila beraksi pada perlawanan sebenar di Jepun nanti,” katanya.

Skuad Olimpik negara dijadualkan menentang Jepun di Stadium Tosu pada 21 September ini manakala satu lagi aksi Kumpulan C menemukan Syria dan Bahrain dengan hanya juara kumpulan layak secara automatik ke temasya Olimpik London yang berlangsung pada pertengahan tahun depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...