Wednesday, September 7, 2011

Jangan terlalu ghairah


KETIKA sebahagian besar pasukan Liga M sedang sibuk memburu pemain import yang sesuai untuk menambah kekuatan masing-masing musim depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku badan induk kebangsaan tampil dengan nasihat berikut ‘jangan terlalu ghairah’.

Bahana terlalu beria-ia mahu menggunakan khidmat pemain import beberapa tahun lalu pernah menyaksikan ada pasukan yang ‘nazak’ apabila dibelenggu masalah kewangan serius sekali gus mengakibatkan mereka gagal melunaskan gaji serta elaun pemain dan pegawai pasukan.

“Mereka perlu melihat kepada kemampun masing-masing. Kalau mereka mampu, ambillah tetapi biarlah ia tidak menyusahkan pasukan di masa depan,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.


Badan induk kebangsaan itu menerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang dipengerusikan Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kembali membuka pintu buat pemain import untuk mewarnai arena bola sepak tempatan musim depan kerana sedar kutipan tiket yang menjadi antara punca pendapatan pasukan banyak bergantung kepada pemain import.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh semua pasukan iaitu hanya pemain berkualiti dari Divisyen 1 negara gabungan Konfederasi Bola Sepak Asia dan Konfederasi Bola Sepak Oceania serta pemain Divisyen 2 Uefa dan Amerika Selatan yang dibenarkan beraksi untuk pasukan di dalam Liga M.

Keputusan untuk kembali menggunakan khidmat pemain import di dalam Liga M dibuat badan induk kebangsaan itu pada mesyuarat exco Julai lalu tetapi kali ini, jumlah pemain import yang dibenarkan hanyalah dua orang berbanding tiga seperti yang pernah dibuat sebelum ini.



“Ini nasihat kami. Kalau boleh kami selaku badan induk tidak mahu melihat ada pasukan yang menderita gara-gara terlalu ghairah mengambil pemain import. Tengok kemampuan masing-masing,” katanya.

Antara cadangan yang pernah dikemukakan FAM kepada pasukan yang merasakan mereka tidak mampu untuk membeli pemain import ialah tumpukan serta gunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...