PERASAAN serba salah yang dirasai pengurusan T-Team apabila mereka dilabel sebagai ‘perampas’ ekoran tindakan membawa masuk tiga hero Kelantan ke Terengganu awal musim ini masih segar dalam ingatan.
Malah, kehadiran Indra Putra Mahayudin, Azizi Matt Rose dan Mohd. Norfarhan Muhammad turut menimbulkan sengketa dalaman melibatkan penyokong kedua-dua pasukan.
Perang psikologi berlaku di atas padang melibatkan semua pemain, sementara para penyokong terus bersikap fanatik sehingga mencetuskan suasana tegang di luar stadium.
Kesudahannya, T-Team diberi ‘lesen sah’ untuk menggunakan khidmat ketiga-tiga pemain Kelantan itu.
Namun, ibarat indah khabar dari rupa, kehadiran tiga bintang itu gagal dibayar dengan nilai kejayaan yang sepatutnya diraih T-Team di peringkat saingan Liga Super mahupun Piala FA.
Situasi itu sekali gus mencetuskan tanda tanya sehingga menjejaskan periuk nasi ketua jurulatihnya, Yunus Alif (gambar kecil) yang diarahkan berehat buat seketika.
Kemelut makin runcing sehinggalah campur tangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang memberi kata dua berbaur amaran kepada pengurusan dan pemain T-Team.
Kata Ahmad, T-Team perlu bangkit dan buktikan bahawa mereka masih relevan beraksi dalam Liga Malaysia atau pun, berdepan pembubaran pada masa akan datang.
“Kita memberi tempoh setahun kepada pasukan T-Team untuk memperbaiki mutu permainan mereka atau pasukan itu dibubarkan,” katanya.
Dengan amaran keras itu, pengurusan T-Team akhirnya akur dan kembali memberi kepercayaan kepada Yunus untuk membimbing pasukan berstatus kelab itu.
Di bahu Yunus kini hanya satu matlamat iaitu mengembalikan maruah T-Team agar terus dihormati pencabar mereka, khususnya dalam saingan Piala Malaysia.
“Semua tahu apa yang berlaku kepada T-Team musim ini. Bermula dengan isu perpindahan pemain sehingga kepada isu jurulatih, ia jelas memberi kesan kepada moral mahupun semangat pemain.
“Namun kami masih berpeluang untuk membersihkan kontroversi ini dan saingan Piala Malaysia yang bakal bermula pada minggu pertama selepas Aidilfitiri akan menjadi medan terbaik buat kami untuk membuktikannya,” jelas Yunus kepada Kosmo! baru-baru ini.
Untuk rekod, T-Team hanya menduduki tangga kesembilan dalam saingan Liga Super musim ini dan tersekat di pusingan pertama kempen Piala FA selepas tewas kepada Kelantan.
Bagaimanapun, pencapaian membanggakan tetap dicatat pasukan itu apabila berjaya menewaskan bekas juara, Selangor bagi kedua-dua perlawanan Liga Super selain membenam Kelantan di Kuala Terengganu.
“Tahun ini adalah tahun kedua kami beraksi dalam Piala Malaysia dan sudah pasti saya tidak mahu pasukan T-Team hanya dilabel sebagai pasukan penumpang dalam pertandingan berprestij ini.
“Kami memiliki kombinasi pemain yang hebat serta berpengalaman dan saya harap kami mampu berdiri sama tinggi dengan pasukan-pasukan lain,” katanya lagi.
Mengulas mengenai percaturan pada kempen Piala Malaysia kali ini, Yunus mengakui peluang seimbang dimiliki kesemua empat pasukan dalam Kumpulan D untuk mara ke pusingan seterusnya.
Katanya, Selangor mungkin diletakkan sebagai pilihan sementara Kuala Lumpur dan PDRM serta T-Team memiliki kekuatan seimbang di setiap posisi.
“Kami pernah mengalahkan Selangor dalam Liga Super dan tidak mustahil kami melakukannya dalam Piala Malaysia. Kuala Lumpur pula merupakan pasukan yang sedang meningkat naik sementara kekuatan PDRM sukar untuk kami ramal,” ujarnya.
Sebagai persediaan, kata Yunus, pengurusan telah membawa masuk beberapa pemain pinjaman bagi memperkuat cabaran T-Team termasuklah dengan melamar penjaring terbanyak Liga Perdana daripada pasukan MP Muar, Mohd. Fitri Omar.
Selain Fitri, T-Team turut ‘mengimport’ dua lagi pemain iaitu penjaga gol Pos Malaysia, Mohd. Jibrail Kamaron Baharin dan Mohd. Faiz Subri dari Perlis.
“Berdasarkan sesi latihan dan perlawanan persahabatan baru-baru ini, saya cukup bangga dengan keserasian yang ditunjukkan semua pemain baharu ini,” kata Yunus.
Sementara itu, kapten T-Team Rosdi Talib mengharapkan tuah akan memihak kepada pasukannya pada penampilan kedua dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Jelas pemain pertahanan itu, T-Team sebenarnya mempunyai rangkaian pemain yang hebat dengan adanya beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Azizi, Indra, Subri, Farhan.
“Namun kami tetap ada kelemahan dan kelemahan itu yang perlu kami selesaikan. Mungkin juga kami masih belum dapat mencari keserasian.
“Saya hanya berharap agar para pemain dapat memberikan komitmen seratus peratus kepada pasukan bagi membalas jasa pihak pengurusan yang terus memberi kepercayaan kepada kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment