Friday, September 2, 2011

Selangor buru kemenangan perlawanan pertama


SELANGOR perlu mencatatkan kemenangan pada perlawanan pertama bagi memastikan buruan Piala Malaysia berada dalam landasan tepat dan tidak bergantung kepada pasukan lain untuk layak ke suku akhir.

Hakikat itu diakui pemain tengah, Mohd Safiq Rahim yang melihatnya satu perlawanan penting buat skuad Merah Kuning untuk mencatatkan keputusan positif.

“Pada kejohanan membabitkan aksi kumpulan seperti ini, keputusan positif adalah penting untuk menaikkan moral pasukan bagi menentang pasukan lain selepas itu,” katanya yang juga kapten skuad Harimau Malaya.


Selasa ini, juara 32 kali Piala Malaysia itu akan membuka tirai saingan menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan berstatus kelab yang menewaskan mereka dalam dua perlawanan Liga Super.

Cabaran selepas itu adalah menentang PDRM dan Kuala Lumpur bagi melengkapkan pusingan pertama sebelum anak buah jurulatih K Devan itu meneruskan pusingan kedua yang bermula 17 September untuk menentukan dua pasukan teratas yang layak ke suku akhir.

Perancang tengah berusia 24 tahun yang menjulang Piala AFF penghujung tahun lalu itu juga bertekad meraih kejuaraan terakhir yang menjadi rebutan musim ini selepas kegagalan Selangor meraih sebarang kejuaraan sebelum ini.



“Sebagai pemain saya memang mengimpikan piala ini selepas gagal melakukannya pada tahun lalu. Saya akan memberikan aksi terbaik jika diturunkan,” katanya yang kini terpaksa bersaing hebat bagi merebut kedudukan dalam kesebelasan utama yang dilihat mampu diisi beberapa pemain utama lain.

Malah dia mengharapkan mana-mana penjaga gol diberikan peluang dapat mempamerkan persembahan terbaik bagi memberi keyakinan kepada pemain lain dalam menghadapi lawan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...