Friday, September 2, 2011

Badri akui tekanan amat tinggi


TURUN selaku juara bertahan Piala Malaysia sememangnya satu tekanan yang amat besar buat barisan pemain Red Warriors.

Hakikat itu diakui kapten skuad gergasi dari Pantai Timur itu, Mohd Badri Radzi yang kini menggalas harapan tinggi peminat Kelantan dan pihak pengurusan bola sepak Che Siti Wan Kembang itu.

Apatah lagi rekod menunjukkan hanya lima pasukan yang berjaya melakukannya sejak piala prestij itu mula dipertandingkan pada 1921 dengan Kedah di bawah bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah menjadi pasukan terakhir yang mempamerkan kehebatan mempertahankannya pada musim 2006/07 dan 2007/08.


“Memang tekanannya amat tinggi selepas kejayaan memenangi Piala Malaysia buat kali pertama dan tahun ini turun untuk mempertahankannya. Kami akan cuba mempamerkan aksi terbaik pada saingan yang bermula Selasa ini,” kata perancang tengah berusia 29 tahun itu.

Malah pemain yang dikenali sebagai ‘Piya’ di kalangan peminat Red Warriors menganggap tugas itu semakin sukar dengan undian Kumpulan C yang membariskan Johor FC, Felda United dan Sarawak walaupun dilabel sebagai pasukan pilihan untuk mara ke suku akhir selaku juara kumpulan.

“Pada pandangan saya ancaman terbesar adalah Felda United. Walaupun kami menjaringkan sembilan gol dalam dua pertemuan Liga Super, situasi dalam pertandingan Piala Malaysia berlainan malah kelab terbabit mempunyai ramai pemain yang pernah beraksi di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan.



“Kami juga tetap mengambil sikap berwaspada dengan Johor FC serta kekuatan naib juara Liga Perdana, Sarawak yang masih menjadi misteri. Yang penting kami tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan,” katanya.

Kelantan menjulang kejuaraan pertama Piala Malaysia musim lalu di bawah kendalian bekas jurulatihnya, B Sathianathan selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

Red Warriors kali ini turun dengan pengendali berbeza iaitu Datuk M Karathu yang membimbing mereka menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah selain bergelar naib juara Piala FA musim ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...