Monday, September 5, 2011

Terengganu bersederhana


PENDEKATAN Terengganu berbanding pasukan lain menghadapi kempen Piala Malaysia yang akan membuka tirai esok nyata berbeza.

Ketika pasukan lain sibuk berlumba-lumba mengadakan perlawanan persahabatan untuk menguji prestasi masing-masing serta memikat pemain dari pasukan luar, Terengganu pula lebih bersikap ‘bersederhana’.

Namun kapten skuad Penyu, Mohd Marzuki Yusof tetap yakin mereka mampu mencabar kejuaraan Piala Malaysia biarpun persiapan mereka kurang gah berbanding pasukan pilihan lain seperti Kelantan dan Selangor.


“Kami tidak mengadakan banyak perlawanan persahabatan sebaliknya hanya menentang sesama sendiri dalam sesi latihan, memang kami sudah biasa dengan persiapan seperti ini. Susah untuk kami mengadakan perlawanan persahabatan sebab tak banyak pasukan di kawasan Pantai Timur berbanding Lembah Klang.

“Memang persiapan Terengganu nampak sederhana, pemain pinjaman hanya seorang di bahagian pertahanan (Mohd Faizal Mohammad dari Harimau Muda A), tak seperti pasukan lain yang mengambil pemain luar sehingga tiga pemain khususnya di bahagian serangan. Tapi itu tidak bermakna kami tidak bersedia kerana latihan sepanjang bulan Ramadan lalu cukup untuk kami mengejar kejuaraan kali ini,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

Pada saingan Piala Malaysia kali ini, Terengganu juara Piala FA dan naib juara Liga Super bakal berdepan tentangan Negeri Sembilan, Selangor PKNS dan Sime Darby dalam Kumpulan B.



Bagi Marzuki yang menjadi tonggak utama pertahanan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim, dia memilih Negeri Sembilan sebagai pencabar utama namun dalam masa yang sama mengingatkan rakan sepasukan berwaspada dengan ancaman PKNS dan Sime Darby.

“Orang luar melabel kami sebagai pasukan pilihan kerana kami juara Piala FA dan naib juara Liga Super tapi kami perlu berwaspada. Pasukan lain pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengalahkan Terengganu selepas ini,” katanya.


Terengganu yang ketandusan kejuaraan Piala Malaysia selepas kali pertama memenanginya pada 2001 akan berdepan Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada aksi pertama kumpulan esok.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...