Monday, September 5, 2011

Prestasi Johor FC goyah


PRESTASI tidak menentu Johor FC menimbulkan persoalan sama ada skuad itu mampu mengulangi kejayaan layak ke separuh akhir musim lalu diterjemah pada saingan Piala Malaysia musim ini.

Hanya satu kemenangan daripada empat perlawanan persahabatan ketika membuat persiapan menghadapi saingan piala itu pasti mengundang resah buat pengendali Lebah, Azuan Zain yang perlu mencari ramuan terbaik memantapkan kesebelasan utamanya.

Malah sasaran pengurusan Johor FC bukan sekadar melangkah ke separuh akhir sebaliknya ke final yang menjadi impian pasukan bertaraf kelab itu.

Apa yang diresahkan oleh Azuan adalah hasrat untuk membariskan pemain terbaik seakan tidak menjadi kenyataan selepas beberapa tonggak utama masih dibelenggu kecederaan.

“Mat Saiful Mohamad sudah pasti tidak akan diturunkan sepanjang kempen Piala Malaysia kerana belum pulih daripada kecederaan manakala Abdul Rahman Zabul juga terus dihimpit kecederaan.

“Benteng pertahanan Johor FC masih rapuh dan saya harus mencari jalan terbaik untuk memperkuatkan barisan itu dan walaupun sudah memiliki Saiful Nizam Miswan yang dipinjam dari Pahang, ia masih belum mencukupi.



“Saya sedikit tertekan kerana pertemuan pertama menentang Felda United di Stadium JCorp, Pasir Gudang, esok amat penting buat Johor FC malah tiga mata tidak harus dilepaskan di laman sendiri,” katanya.

Apapun beliau lega dengan kemantapan barisan serangan dan tengah yang sudah menunjukkan peningkatan apabila membentuk kombinasi mantap pada aksi persahabatan menentang Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Penampilan semula Eddy Helmi Manan yang kembali dalam kesebelasan utama memberi kesan apabila barisan serangan tampak jitu manakala barisan tengah yang diterajui Rezal Zambery Yahya juga begitu konsisten,” kata Azuan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...