Tuesday, September 6, 2011

Siapa mampu cabar Kelantan?


KUALA LUMPUR - Walaupun saingan Piala Malaysia bermula hari ini, juara Liga Super musim ini, Kelantan awal-awal lagi dianggap sebagai pilihan utama yang akan menakluk trofi Piala Malaysia sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu jika keseimbangan pasukan dan pengalaman menjadi ukuran.

Diletakkan sekumpulan bersama Johor FC, Felda United dan Sarawak dalam Kumpulan C, Kelantan berada satu kelas tersendiri berbanding ketiga-tiga pasukan tersebut dan tiket selaku juara kumpulan sudah pasti dimiliki Red Warriors sekali gus mengelak pertembungan awal dengan Terengganu di peringkat suku akhir jika skuad Peteh itu juga berjaya meletakkan diri sebagai juara Kumpulan B.

Biarpun kekuatan Kelantan sedikit terjejas tanpa kehadiran penjaga gol sensasi, Khairul Fahmi Che Mat yang menabur bakti untuk negara di pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2012, pengalaman penjaga gol kedua, Mohd. Shahrizan Ismail masih boleh disandarkan.

Kumpulan A mungkin memperlihatkan persaingan seimbang antara Kedah, Perak dan Sabah sementara Johor, wakil dari Liga Perdana dilihat sukar menyaingi kekuatan yang ada pada ketiga-tiga pasukan berkenaan.

Biarpun Kedah menjadi pilihan pertama dalam Kumpulan A, kemampuan Perak dan Sabah tidak harus dipertikaikan memandangkan kedua-dua pasukan itu mempunyai rekod baik tiap kali beraksi di laman sendiri.

Negeri Sembilan mungkin menjadi penghalang terbesar juara Piala FA, Terengganu yang berazam mahu menjadi juara Kumpulan B manakala PKNS selaku juara Liga Perdana dan Sime Darby mampu bertindak selaku pasukan kacau daun.

Terengganu pasti sedikit bimbang jika apa yang diperkatakan jurulatih skuad Rusa, Mohd. Azraai Khor Abdullah bahawa pasukan Negeri Sembilan yang bersaing di Piala Malaysia adalah sebuah pasukan yang berbeza daripada Liga Super.

''Masa saingan Liga Super, kami berdepan banyak masalah kecederaan pemain tetapi bagi menghadapi Piala Malaysia, semua pemain utama pulih daripada kecederaan termasuk Zaquan Adha Abdul Razak, Aidil Zafuan dan Ahmad Fakri Saarani.

''Fakri Saarani yang bergelut dengan masalah prestasi berjanji kepada saya akan kembali bangkit sambil tidak akan terlalu mendengar apa jua tanggapan peminat kepada dirinya," katanya.

Bersemangat mahu memburu kejuaraan Piala Malaysia kali ke-33, Selangor yang masih ketandusan sebarang trofi pada musim ini bakal dicabar hebat T-Team dalam Kumpulan D di samping kehadiran jiran Lembah Klang, Kuala Lumpur yang mahu mengulangi memori muncul juara tiga tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1989 dan pasukan underdog, PDRM.

Masalah ketiadaan penjaga gol berwibawa selepas penghijrahan Mohd. Hamsani Ahmad ke Felda United dan penggempur terhebat Harimau Malaya, Safee Sali mungkin menjadi batu penghalang kepada cita-cita Selangor yang mahu menamatkan kemarau enam tahun kegagalan menjulang Piala Malaysia.

Terengganu dan Selangor boleh dinamakan sebagai pencabar terkuat kepada Kelantan yang berusaha mahu mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu, namun beberapa pasukan lain seperti Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan T-Team mempunyai ramuan untuk melakukan kejutan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...