Monday, October 3, 2011

Shahurain harap terus dapat kepercayaan jurulatih Jang


SELEPAS berjaya membantu pasukan melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia, pemain sayap Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah, mahu terus menggalas cabaran pasukan apabila turun menentang Felda United, 10 Oktober ini.

Pemain berusia 24 tahun itu, bertekad untuk meneruskan aksi cemerlangnya demi memastikan Negeri Sembilan dapat terus mara lebih jauh dalam kempen merebut trofi berprestij itu selepas gagal melakukannya musim lalu.

“Selepas berjaya mara ke suku akhir, kami tidak mahu kemaraan pasukan tersekat tapi berazam melepasi halangan itu dan terus melangkah sehingga ke final.


“Saya berharap disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan kerana ingin membantu Negeri Sembilan mencapai kemenangan dan seterusnya melakar kejayaan menjulang trofi kejuaraan buat kali kedua,” katanya.

Pemain kelahiran Kajang itu yang setakat ini sudah menjaringkan empat gol sentiasa mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad Hoben Jang Hoben sejak dua musim lalu dan kini dia antara pemain yang menjadi sandaran utama.

Walaupun beraksi di bahagian sayap, Shahurain seringkali tidak mensesiakan peluang untuk menjaringkan gol.



Malah dia yang sering membantu penyerang berpengalaman Hairuddin Omar di barisan depan, tampak berkesan dalam melaksanakan tugas hingga menjadikan kelibatnya sering diawasi pertahanan lawan.

Sekalipun belum berpeluang mewakili skuad kebangsaan, namun Shahurain, kini semakin yakin dengan tahap prestasinya.


“Saya perlu menunjukkan kesungguhan tinggi dan persembahan cemerlang setiap kali beraksi kerana ia penentu kepada kejayaan pasukan musim ini. Saya berharap dapat terus menjaringkan gol dalam suku akhir dan saingan seterusnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...