JURULATIH Terengganu, Mat Zan Mat Aris lega selepas dua pemain import pasukan Penyu, Tercio Nunes Machado dan Mohamadou Suamareh berjaya didaftarkan sebelum tarikh tutup kelmarin.
Sebelum itu, timbul kekecohan apabila penyerang dari Nigeria, Sibi Gwar, 24, yang pada awalnya dipilih mewakili Terengganu gagal didaftarkan kerana bekas pemain Niger Tornadoes FC itu tidak memiliki dokumen lengkap.
Namun, walaupun cuma berbaki kurang 24 jam, Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) sempat mencari pengganti dengan menawarkan kontrak kepada Mohamadou yang turut hadir bersama 16 pemain asing dalam sesi pemilihan minggu ini.
Mat Zan berkata, penyerang Gambia berusia 19 tahun itu sempat didaftarkan sebelum tarikh tutup dan bekas pemain Serrekunda FC itu sah menjadi pemain Terengganu bersama Machado, 33, yang sudah tidak asing lagi dengan Liga Malaysia selepas mewakili KL Plus pada musim 2007-08.
“Sebenarnya panel pemilih pemain import kami merasakan Mohamadou terlalu muda dan kurang berpengalaman berbanding dengan Sibi namun kami terpaksa membuat keputusan segera kerana pemain Nigeria itu tidak dapat didaftarkan.
“Apapun kami percaya Mohamadou bakal memberi impak besar kepada pasukan dan kami yakin namanya bakal menjadi sebutan ramai selepas bermulanya Liga Super pada 10 Januari,” katanya.
Mat Zan kembali ke Terengganu untuk menggantikan Irfan Bakti yang kini menjadi jurulatih Selangor, gembira kerana Tercio, pemain Brazil di bawah jagaannya ketika beraksi dengan KL Plus dapat bersamanya lagi.
“Walaupun sudah beberapa tahun Tercio meninggalkan KL Plus untuk beraksi dengan Araxa FA dalam liga Brazil, dia masih mampu menunjukkan rentak permainan menarik .
“Umurnya sudah meningkat namun kecergasannya masih tidak terjejas dan kami yakin Tercio bakal menjadi pemain tengah yang digeruni lawan,” katanya.
Mat Zan yang mengemudi Terengganu untuk muncul juara Piala Malaysia 10 tahun lalu berkata, Tercio merupakan pemain penting KL Plus apabila mereka menduduki tangga kedua Liga Perdana pada 2008.
“Hantarannya selalu mengelirukan lawan dan caranya mengawal bola dan membaca permainan akan memberi kelebihan kepada pasukan yang diwakilinya.
“Kehadiran Tercio memberi ruang kepada Reshafiq Alwi dan Joseph Kallang Tie untuk melebarkan sayap dan menumpukan lebih perhatian kepada jentera serangan,” katanya.
Menurutnya, Mohamadou juga diyakini dapat berganding baik dengan Ashaari Shamsudin, Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya untuk mengekalkan keupayaan Terengganu yang sudah terkenal dengan permainan serangan pantas.
“Kami menyertai Kejohanan Piala AFC buat kali pertama musim baru ini dan perlukan seberapa ramai pemain yang mampu membantu dalam misi melepasi peringkat kumpulan di peringkat Asia.
“Kami juga ingin mengekalkan kecemerlangan musim lalu dan ingin membawa satu atau dua piala ke Kuala Terengganu musim depan,” kata Mat Zan.
No comments:
Post a Comment