Wednesday, February 1, 2012

Pasukan pemain rasuah boleh digugur - FAM



KUALA LUMPUR - Pemain atau pegawai yang terlibat dengan rasuah dan mengatur keputusan perlawanan bola sepak gara-gara tidak dibayar gaji oleh persatuan negeri atau kelabnya, bakal turut mengheret pasukan yang diwakilinya itu digugurkan terus daripada sebarang pertandingan kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).




Kata Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, ia merupakan bentuk tindakan terakhir yang mampu dikenakan atau digelar 'Kad Merah' sekiranya dua amaran awal (Kad Kuning) berhubung kegagalan membayar gaji melebihi dua bulan, masih tidak diendahkan persatuan atau kelab berkenaan.

"Kami mengenal pasti salah satu punca pemain atau pegawai pasukan mengambil rasuah ialah apabila gaji mereka tidak dibayar berbulan-bulan. Jadi Jawatankuasa Pemantauan, Ketelusan dan Penyelarasan FAM akan menyiasat majikan terlibat dengan memastikan setiap hujung bulan sehingga minggu pertama bulan berikutnya, gaji pemain sudah dibayar.

"Sebuah unit khas yang bebas di bawah jawatankuasa ini juga akan ditubuhkan dan ahlinya mungkin diletakkan secara sepenuh masa bagi memerangi gejala rasuah yang dijalankan oleh kaki judi 'profesional' ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas menangani isu rasuah dalam Liga Malaysia di Shahzan House di sini, semalam.

Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Pegawai Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi Asia, Michael Price; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Jalil Hassan dan Pengarah Bahagian Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Deputi Komisioner Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

Tengku Abdullah menambah, FAM kini memperkenalkan pendekatan 3 E dalam menangani rasuah bola sepak iaitu education (pendidikan) pada pemain dan pegawai pasukan tentang akibat buruk amalan aktiviti perjudian, pengambilan (engagement) kerjasama pihak berkuasa seperti PDRM dan SPRM dengan FAM yang tidak mampu membanterasnya sendirian sebagai badan tadbir bola sepak dan penguatkuasaan (enforcement) dengan penubuhan unit khas bebas tersebut.

"FAM juga akan mula bertindak drastik sehingga mungkin memantau secara dekat gaya hidup mereka yang disyaki menerima rasuah kerana hakikatnya imej bola sepak negara mampu tercemar jika tidak dibendung. Walaupun bukan niat untuk mengaibkan sesiapa, kita pasti tidak mahu insiden rasuah 1994 yang meragut seluruh generasi pemain bola sepak kita, berulang sekarang," katanya.

Sementara itu, Abdul Jalil memberitahu, siasatan polis akan mengambil pelbagai sudut termasuk mengenai kemungkinan rasuah bola sepak yang masih melibatkan bekas pemain atau pegawai.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...