Wednesday, February 1, 2012

Pelita Jaya tawar Safee gaji RM118,000



JAKARTA - Seandainya Safee Sali memilih untuk kekal bersama kelab Pelita Jaya, pemain berkenaan bakal menerima gaji bulanan berjumlah Rupiah 350 juta (RM118,000) sebulan.




Tawaran gaji lumayan itu merangkumi faedah-faedah lain seperti kenderaan, 
pemandu peribadi serta penginapan yang diterima Safee.

Spekulasi mengenai mengenai ganjaran berkenaan serta persetujuan pemain berusia 27 tahun itu untuk terus bersama Pelita Jaya bagi tempoh dua tahun akan datang dilaporkan oleh akhbar tempatan, Warta Kota.

Atas kertas, kontrak Safee selama setahun dengan kelab Pelita Jaya berakhir semalam (31 Januari).

Menjawab spekulasi itu, pengurus Safee, Zakaria Rahim berkata, segala tanda tanya mengenai kedudukan penyerang sensasi negara akan diumumkan kepada media hari ini.

Menurut Zakaria, persoalan mengenai sama ada Safee berminat menyambung kontrak dengan Pelita Jaya serta tawaran lumayan itu akan dijelaskan pada sidang media itu.

Beliau bagaimanapun, tidak menafikan atau mengiakan bahawa jumlah gaji lumayan itu telah ditawarkan oleh Pelita Jaya buat Safee.

"Saya serahkan kepada media untuk membuat spekulasi Safee bakal dibayar Rupiah 350 juta jika bersama Pelita Jaya.

"Kalau sekalipun dibayar dengan gaji sedemikian, saya fikir itu merupakan satu penghormatan buat Safee kerana ia seiring dengan kualiti beliau sebagai pemain bola sepak asing di Indonesia," kata Zakaria kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, semalam.

Selain Pelita Jaya yang mahu mengekalkan khidmat Safee, pemain itu juga dipancing empat pasukan Liga Malaysia iaitu dua dari selatan tanah air, satu dari pantai Timur dan satu lagi di Lembah Klang.

Tidak ketinggalan, Safee turut diintai kelab dari Thailand, Muangthong United FC.

Pelita Jaya difahamkan sangat berminat untuk mengekalkan Safee berikutan potensi penyerang itu boleh membantu memperkukuhkan kedudukan kelab berkenaan dalam Liga Super Indonesia.

Menurut Zakaria lagi, bukan mudah untuk Safee membuat keputusan mengenai masa depannya itu kerana banyak pertimbangan yang harus dilakukan terlebih dahulu.

Safee bagaimanapun, jelas Zakaria, sudah begitu selesa dengan kedudukannya di Pelita Jaya selain semakin gembira dengan kehidupan di Jakarta.

Kata Zakaria, Safee juga sudah memiliki hubungan yang baik dengan pemain-pemain sepasukan serta sangat disenangi di kalangan rakyat Malaysia yang menetap di Jakarta.

Sementara itu, Safee ketika dihubungi pula berkata, beliau akan menjawab semua tanda tanya itu hari ini.

"Jemput datang ke sidang media hari ini. Saya akan jawab semua soalan yang selama ini menjadi tanya tanya ramai," jelas pemain kebangsaan itu lagi. Utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...