Saturday, April 7, 2012

Irfan tak rela terlepas mata


Harian Metro

PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tidak rela berputih mata apabila melayan kunjungan bekas pasukan bimbingannya musim lalu, Terengganu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam ini.


Hanya tiga mata menjadi sasarannya bagi memastikan Merah Kuning tidak terus ketinggalan dalam persaingan Liga Super selepas hanya mencatatkan empat kemenangan dalam 12 perlawanan walaupun turun tempang apabila kehilangan tiga tonggak utama kerana penggantungan Mohd Asraruddin Putra Omar, K Gurusamy dan Azidan Sarudin.


“Kemenangan wajib, bermula perlawanan ini bagi membolehkan kami sekurang-kurangnya berada di tiga tempat teratas Liga Super. “Pemain perlu sedar dan saya sudah mengingatkan mereka, saingan sudah hampir memasuki pusingan kedua,” kata pengendali kelahiran Kelantan itu.




Selangor yang kini berada di tangga keenam Liga Super gagal mempamerkan aksi konsisten apabila sekadar mencatatkan keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir menentang LionsXII dan Sabah.

“Tiada guna jika kami menguasai sebahagian besar perlawanan tapi gagal memanfaatkan peluang. Pemain di jentera serangan perlu memanfaatkan peluang dimiliki. “Malah saya turut memberi peringatan kepada penyerang import kami (Bosko Balaban) agar meningkatkan lagi prestasinya,” katanya.


Irfan Bakti turut menggesa anak buahnya supaya mengambil kesempatan daripada faktor keletihan yang mungkin mempengaruhi skuad kendalian Mat Zan Mat Aris kerana beraksi dalam Piala AFC menentang kelab Singapura, Tampines Rovers, Rabu lalu selain lawan yang turut kehilangan beberapa tonggak utama kerana kecederaan.





“Namun mereka mempunyai motivasi tinggi dengan kemenangan di Piala AFC itu selain kehadiran penyerang import berbisa, Francis Forkey Doe yang mampu mengubah perlawanan,” katanya mengenai pasukan yang kini mengumpul 21 mata itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...