Friday, April 6, 2012

KOMENTAR ISU TAN SRI ANNUAR MUSA: Bola kembali ke kaki FAM

BH Online

SUSULAN penggantungan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa gara-gara mengkritik skuad kebangsaan, badan induk bola sepak negara itu kini perlu tampil serius memastikan mahkota kejuaraan Piala AFF Suzuki dapat dipertahankan tahun ini. 

Itu antara senario paling logik untuk menggambarkan ketegasan dan kesungguhan FAM dalam membangunkan bola sepak negara kerana apa yang penting bagi peminat bola sepak tempatan, bukan masalah dalaman FAM, tetapi pencapaian terpuji skuad negara di pentas antarabangsa. 



Berdasarkan pencapaian semasa skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal, misi berkenaan tampak sukar jika bersandarkan beberapa keputusan perlawanan persahabatan sepanjang tahun ini yang kurang memberangsangkan.



Mungkin sesudah Annuar diketepikan daripada kelompok pengurusan FAM untuk tempoh dua tahun enam bulan, badan induk bola sepak negara boleh mula memberi tumpuan penuh kepada prestasi pasukan kebangsaan yang menjadi tanggungjawab persatuan sejak mula ditubuhkan lagi. 

Situasi sekarang seperti mencabar FAM tapi hakikatnya pihak pengurusan skuad kebangsaan ada segala ramuan untuk berjaya dengan bekalan pemain yang cukup tanpa perlu menguji pemain pada setiap masa (seperti pernah dikritik Annuar). 

Medan paling hampir untuk Rajagobal membuktikan kemampuannya selepas insiden dikritik Annuar ialah dua perlawanan persahabatan pada 8 dan 12 Jun menentang Singapura yang pernah mengecewakan negara pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai tahun lalu. 

Tidak dinafikan peminat dan pengkritik bola sepak tanah air tahu kemampuan Rajagobal yang sebelum ini berjaya meraih kejuaraan di Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki 2010 walaupun berbekalkan skuad dilanda deretan kecederaan. 


Soal keputusan siri perlawanan persahabatan mungkin tidak boleh dijadikan kayu ukur pencapaian sebenar skuad kebangsaan kerana Rajagobal masih dalam proses menguji seberapa ramai muka baru untuk diserapkan ke dalam pasukannya. 

Jadi mahu tidak mahu, peminat bola sepak tempatan terpaksa menunggu sehingga kejohanan berlangsung bermula 24 November ini untuk Malaysia membuktikan kemampuannya mempertahankan kejuaraan yang disokong oleh kelebihan sebagai tuan rumah bersama dengan Thailand. 

Dalam siri perlawanan persahabatan bermula 7 Oktober tahun lalu, Malaysia dibelasah Australia di Canberra 5-0 dan pada November, anak buah Rajagobal seri 1-1 dan tewas 3-2 bertemu pasukan kebangsaan India. 

Kemudian pada Februari, anak buah Rajagobal menang 5-0 ke atas juara Liga Super, Kelantan, diikuti 1-0 ke atas Sabah sebelum seri 1-1 bertemu pesaing Piala AFF Suzuki, Filipina. 

Perlawanan persahabatan terakhir membabitkan skuad kebangsaan ialah pada 24 Mac menentang satu lagi pasukan Liga Super, Sarawak yang berakhir dengan keputusan seri 1-1. 

FAM anggaplah segala cabaran selepas ini sebagai sesuatu yang positif demi kejayaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...