KUALA LUMPUR - Kecederaan empat pemain tonggak meresahkan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menjelang separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Cuma agak melegakan kerana kecederaan yang dialami S. Kunanlan, Khyril Muhymeen Zambri, Safee Sali dan Shakir Shaari tidak serius.
"Safee mengalami sedikit kekejangan otot manakala Shakir pula cedera bahagian buku lali, saya harap menjelang perlawanan Ahad ini mereka akan kembali cergas.
"Kita akan pantau keadaan mereka dalam tempoh sehari dua ini, terutama ketika menjalani latihan. Saya juga mahu menilai kemampuan penyerang, Ahmad Hazwan Bakri.
"Saya tidak boleh memaksa atau memberi tekanan pemain yang cedera, ia akan mengambil sedikit masa dan semua pemain tersebut harus fokus dalam latihan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, di sini semalam.
Menjelang aksi Ahad ini, tumpuan Rajagobal adalah memperbaiki kelemahan yang dikesan dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Menurutnya, walaupun agak sukar untuk melenyapkan terus kelemahan tersebut tetapi beliau yakin masih tidak terlambat untuk mengurangkan dan mempersiapkan pasukannya sebaik mungkin.
"Kita tidak boleh lari daripada kelemahan tetapi kita boleh mengurangkannya. Thailand sebuah pasukan yang kuat namun kita tidak boleh sama sekali takut bertemu mereka," katanya.
Jelasnya, Thailand memang mempunyai kelebihan dan sangat berbeza berbanding skuad sebelum ini namun itu tidak bermakna Malaysia akan menyerah awal sebaliknya mahu mencabar kehebatan skuad Gajah Putih itu.
"Kita juga akan berterusan menilai Thailand, dalam masa sama saya yakin mereka juga memantau perkembangan Malaysia.
"Selepas kekalahan pertama ke atas Singapura, kita menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua dan ketiga. Saya juga gembira melihat reaksi penyokong ketika perlawanan Indonesia Sabtu lalu," katanya.
No comments:
Post a Comment