Tuesday, December 4, 2012

Khairul Fahmi tidak kecewa



KUALA LUMPUR - Tidak kira sama ada diturunkan pangkat menjadi penjaga gol No. 2 di belakang Farizal Marlias, semangat dan fokus Khairul Fahmi Che Mat hanyalah satu iaitu melihat skuad kebangsaan terus melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Suzuki AFF.

Menurut penjaga gol Kelantan itu, dia akan sentiasa fokus di sepanjang kejohanan walaupun tidak diturunkan dalam kesebelasan utama ketika bertemu Laos dan Indonesia.



"Saya hanya fokus dan membuat persiapan rapi terutama sekali menjelang pertemuan dengan Thailand yang dilabel sangat hebat ketika ini," katanya selepas sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Jelasnya, memasuki peringkat separuh akhir, peluang semua pasukan sama rata dan mana-mana pasukan mampu untuk melangkah lebih jauh.

Khairul Fahmi juga bersedia untuk berkongsi pengalaman dan memberi kata-kata perangsang kepada Farizal sekiranya dia tidak diturunkan pada perlawanan separuh akhir pertama bertemu Thailand Ahad ini.

"Saya nasihatkan dia supaya sentiasa fokus menjelang perlawanan menentang Thailand nanti, saya yakin dia mampu untuk beraksi cemerlang," katanya.

Tambahnya, Farizal mampu untuk beraksi baik dalam membantu pasukan untuk mencatat kejayaan dan dia bersedia untuk berkongsi pengalaman yang dimilikinya ketika membantu Malaysia muncul juara dua tahun lalu.

Farizal dijangka berdepan tugas berat menjelang pertemuan dengan Thailand kerana pasukan Gajah Putih itu mempunyai rangkaian serangan yang merbahaya.

Penjaga gol Negeri Sembilan itu hanya melepaskan satu gol dalam dua aksi sebelum ini iaitu ketika Harimau Malaya mencatat kemenangan 4-1 ke atas Laos dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...