Tuesday, December 4, 2012

Schafer bimbangkan Safee, penyokong



KUALA LUMPUR - Jurulatih Thailand, Winfried Schafer yakin pasukannya mampu mengalahkan Malaysia dalam saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF jika skuadnya menjelmakan prestasi seperti mana mereka menjuarai Kumpulan A dengan tiga kemenangan.

Perlawanan separuh akhir pertama akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad ini dan perlawanan kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok pada 13 Disember.



Malaysia bangkit selepas kalah 0-3 kepada Singapura dalam perlawanan pembukaan dengan kemenangan ke atas Laos dan Indonesia untuk menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara di belakang Singapura.

Harimau Malaya berada pada laluan yang hampir sama pada 2010 apabila mereka juga kalah dalam perlawanan pembukaan sebelum membina momentum seterusnya menjulang kejuaraan dengan kemenangan 4-2 secara agregat ke atas Indonesia.

Dalam laman web AFF, Schafer yakin bahawa Thailand, yang menjaringkan sembilan gol dan hanya dibolosi dua kali dalam Kumpulan A dengan mengalahkan Filipina, Vietnam dan Myanmar, mampu menyekat Malaysia daripada terus meningkatkan momentum.

"Malaysia sebuah pasukan yang bagus. Mereka mempunyai semangat sepasukan yang baik serta hantaran yang kemas.

"Bukan mudah untuk kami mengalahkan mereka, apabila penyokong memenuhi stadium, pemain Malaysia beraksi dengan sepenuh potensi mereka.

"Namun jika kami tiada masalah kecederaan dan pemain mencapai prestasi seperti mana saingan peringkat kumpulan, saya rasa kami lebih merbahaya," katanya.

Schafer juga mengenal pasti penyerang negara Safee Sali, penjaring terbanyak dengan lima gol pada kejohanan 2010, sebagai antara ancaman terbesar terhadap pasukannya.

"Serangan Malaysia banyak bergantung kepada Safee namun kami tidak memandang rendah kemampuan pemain lain," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...