Thursday, September 8, 2011
Azraai lega raih mata 'mahal' daripada PKNS
PETALING JAYA - Tiada kalimat yang lebih sesuai daripada lega dan bersyukur buat Azraai Khor Abdullah setelah pasukannya, Negeri Sembilan menyambar tiga mata dari PKNS dalam perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia, kelmarin.
Langkah kanan di Stadium Petaling Jaya dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan Hairuddin Omar dan Shahurain Abu Samah itu turut disambut penuh kepuasan apatah lagi setelah berbekalkan khidmat segelintir tonggak yang baru pulih daripada kecederaan.
"Satu permulaan baik Negeri Sembilan apabila pulang dari tempat lawan dengan tiga mata terutama setelah baru dapat menurunkan beberapa khidmat pemain utama secara sepenuh masa," kata jurulatih itu selepas perlawanan.
Azraai turut berharap lebih ramai tonggak dapat menyertai kesebelasan utama menjelang menentang Sime Darby, Sabtu ini, antaranya pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Radzak yang masih tercedera dan diserang demam panas.
"Namun, saya akui kami sudah kehilangan penjaga gol utama, Farizal Marlias (dilayangkan kad merah kelmarin dan digantung perlawanan berikutnya) dan percaturan baru memang perlu dilakukan segera," tegasnya.
Sementara itu, jurulatih PKNS, Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan pengalaman yang memisahkan keputusan perlawanan tersebut yang didahului jaringan anak buahnya, Mohd. Norhafizuan Jailani pada minit ketujuh.
"Sukar bagi pasukan saya menembusi benteng berpengalaman lawan dengan pemain seperti Norhafiz (Zamani Misbah) dan Irwan Fadzli Idrus.
"Ia juga terbukti apabila Hairuddin (penyerang Negeri Sembilan) secara solo pun (selepas Ahmad Fakri Saarani dikeluarkan) masih boleh menggugat kubu PKNS walaupun dengan tiga pemain kami yang cuba mengawalnya," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment