Thursday, September 8, 2011

Kekebalan T-Team wajar digeruni Selangor


Pemain T-Team, Mohd. Norfarhan Muhammad (dua dari kiri) diasak dengan tiga pemain Selangor dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor

KUALA TERENGGANU - T-Team sekali lagi mengekalkan rekod tanpa kalah menewaskan Red Giants 1-0 pada perlawanan Kumpulan D Piala Malaysia, kelmarin.

Biarpun hanya satu gol diperoleh hasil sumbangan pemain pertahanan, Nor Fadly Alias pada minit ke-73, namun ia sudah cukup memberi kepuasan kepada pengendali T-Team, Yunus Alif.

Jaringan itu bukan setakat memberi tiga mata penuh kepada T-Team, malah ia membuktikan kelab itu mampu memberi ancaman kepada pesaing lain.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang merupakan kubu kuat T-Team sukar dibolos tambahan pula diperkuatkan dengan penjaring terbanyak Liga Perdana 2011, Mohd. Fitri Omar.

"Bagaimanapun saya sedikit kecewa kerana pemain gagal menambah dua gol lagi pada aksi separuh masa kedua di mana lebih banyak peluang yang diperoleh," jelas Yunus.

Namun, Yunus akui, perlawanan babak pertama begitu sukar apabila pergerakan pemain-pemainnya terhad dengan penguasaan Selangor pada permulaan perlawanan.

"Saya juga ingin memberi kredit kepada barisan pertahanan yang berjaya mengekang asakan bertali arus daripada pemain Selangor," ujarnya.

Tambahnya, dia akan menyusun strategi lebih mantap dalam aksi menentang satu lagi pasukan gergasi, Kuala Lumpur di Selayang nanti.

Sementara itu, jurulatih Selangor, K. Devan mengakui pasukannya terlepas beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol sehingga menyebabkan mereka tewas pada perlawanan sulung Piala Malaysia semalam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...