Thursday, September 8, 2011

Penyu jangan mudah selesa - Irfan


KUALA LUMPUR - "Jangan mudah selesa dengan kelebihan yang ada."

Itu tegas Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti kepada semua anak buahnya selepas mereka memperoleh tiga mata penuh pada perlawanan pertama Piala Malaysia Kumpulan B menewaskan Sime Darby 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Katanya, semua perlawanan perlu dilalui secara berperingkat serta tidak boleh memandang mudah pihak lawan terutama menentang PKNS, Sabtu ini.

"Sungguhpun kita berjaya memperoleh kejuaraan Piala FA tahun ini, namun itu semua perlu dilupakan sementara ketika sedang mengharungi cabaran Piala Malaysia.

"Saya juga mahu penyakit mudah bangga dengan kelebihan yang ada dibuang daripada diri semua pemain saya. Jangan selesa dengan semua ini sewaktu berhadapan PKNS dan kita perlu menang," kata Irfan.

Terengganu terlebih dahulu mendapatkan jaringan melalui tandukan Joseph Kalang seawal minit kelima sebelum Abdul Hadi Yahya menambah jaringan pada minit ke-11.

Babak kedua cuba bangkit dengan mengasak pertahanan skuad Penyu, sebaliknya malang menimpa apabila Abdul Manaf Mamat melengkapkan gol ketiga buat Terengganu.

Sementara itu, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria berkata, pasukannya mempunyai hampir empat peluang untuk mendapatkan gol, namun tidak berupaya memanfaatkan dengan baik.

"Saya puas hati dengan persembahan yang diberikan oleh pemain dan kita harap ketika menentang Negeri Sembilan mereka mampu melakukan yang lebih baik daripada perlawanan pertama ini.

"Malah, kita juga anggap penyertaan dalam Piala Malaysia ini sebagai pendedahan berguna untuk menghadapi perlawanan liga pada musim depan," kata Ismail.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...