Thursday, September 8, 2011

Belum masa mendabik dada


PENJAGA gol Kelantan, Mohd. Shahrizan diasak pemain Sarawak dalam saingan Piala Malaysia di Kuching, kelmarin. Kelantan menang 2-0. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN



KOTA BHARU - Dua jaringan daripada Norshahrul Idlan Tahala dan S. Chanturu cukup untuk memberikan permulaan baik buat Kelantan dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia menewaskan Sarawak dalam aksi pembukaan Kumpulan C di Stadium Negeri, kelmarin.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, kemenangan 2-0 ke atas Sarawak dalam perlawanan pembukaan ini cukup penting buat Kelantan mendapatkan rentak bagi meneruskan aksi cemerlang.

Begitupun, beliau tidak mahu mendabik dada dengan keputusan tersebut, sebaliknya menuntut barisan pemain terus fokus sepanjang saingan peringkat kumpulan.

"Berdasarkan keputusan perlawanan pertama malam tadi (semalam), saya jangkakan saingan peringkat Kumpulan C kali ini cukup sengit, malah kemampuan pasukan lain seperti Felda United tidak boleh dipandang rendah.

"Lagipun masih terlalu awal untuk melabelkan pasukan manakah yang akan layak ke peringkat seterusnya dalam saingan kali ini dan peluang masih lagi terbuka," katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia di sini, semalam.

Azman memberitahu, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan apa yang telah ditunjukkan barisan pemain ketika bertemu dengan Sarawak biarpun beraksi di bawah keupayaan sebenar.

"Meskipun melakar kemenangan dalam perlawanan tersebut, masih ada lagi beberapa kelemahan yang perlu diatasi segera sebelum perlawanan bertemu dengan Johor FC di Kota Bharu pada Sabtu ini.

"Saya harap pemain tidak leka dengan kejayaan ini dan bekerja lebih keras untuk perlawanan akan datang," ujarnya.

Mengenai aksi penjaga gawang Mohd. Shahrizan Ismail yang menggalas tugas ditinggalkan oleh Khairul Fahmi Che Mat, Azman menjelaskan, beliau berpuas hati dan gembira dengan persembahan pemain terbabit.

"Saya harap dia mampu meneruskan momentum terbaiknya dalam perlawanan selepas ini. Berdasarkan pengalaman yang dimiliki saya yakin dia mampu menggalas tugas selaku benteng terakhir The Red Warriors," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...