Thursday, September 8, 2011

N. Sembilan bukti 10 pemain boleh menang


SEREMBAN - Kejayaan skuad Hoben Jang Hoben menumpaskan PKNS 2-1 di Kelana Jaya, Selangor, kelmarin dianggap sebagai permulaan positif buat Negeri Sembilan memulakan kempen Piala Malaysia 2011.

Kemenangan itu sekali gus membuktikan bahawa anak didik Azrai Khor Abdullah mempunyai azam yang tinggi dalam memulakan kempen musim ini walaupun terpaksa bermain 10 orang kelmarin.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan mengutip tiga mata itu bakal menyuntik semangat pemain serta pasukan untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

Katanya, biarpun dikejutkan gol awal pihak lawan seawal minit ketujuh dan bermain 10 pemain selama 40 minit sebelum perlawanan tamat, ia tidak melunturkan semangat pemain untuk bertahan sehingga mampu mencipta kemenangan.

''Tidak dinafikan pasukan PKNS bermain baik hingga berjaya mendapat gol di awal permainan, malah pemain muda mereka juga bermain pantas memberi saingan kepada kita.

''Kita juga memuji semangat dan corak pemain Negeri Sembilan yang bermain 10 pemain dan berjaya mengekal keputusan hingga ke wisel penamat," katanya di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar berharap semua pemain dapat mengekalkan prestasi secara konsisten dalam menghadapi perlawanan akan datang sekali gus melayakkan diri dari peringkat kumpulan.

PKNS membuka tirai gol menerusi Mohd. Norhafiszuan Jailani sebelum gawang pasukan itu dirobek hasil jaringan Hairuddin Omar dan Shahurain Abu Samah minit ke-14 dan 44.

Sementera itu, Azrai ketika dihubungi gembira dan menganggap perlawanan pembukaan anak buahnya amat memberangsangkan.

Tambahnya, biarpun gagal mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super lalu,
pembukaan kempen Piala Malaysia dalam peringkat kumpulan akan diberi perhatian sepenuhnya.

''Perlawanan pembukaan dan bermain 'away' adalah penting untuk kita mengutip tiga mata penuh apatah lagi bermain 10 pemain semalam diibaratkan satu mimpi negeri, namun keputusannya memberangsangkan.

''Kita juga akan memperkemaskan semula strategi perlawanan kerana sudah tentu Sime Darby mahukan kemenangan pada perlawanan kedua selepas tewas dengan Terengganu," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...