Friday, September 9, 2011
Azzamuddin mahu bantu Kelantan
KOTA BHARU - Penyerang pinjaman Kelantan Azzamuddin Mohd. Akil bertekad membantu Red Warriors meraih kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia bertemu Johor FC di Stadium Sultan Mohammed IV, esok.
Biarpun mengalami kecederaan kaki kiri ketika menentang Sarawak Selasa lalu, Azzamuddin berharap kecederaan yang dialami dapat pulih sepenuhnya bagi membolehkan kembali beraksi.
"Hari ini saya tidak menjalani latihan dan mendapatkan rawatan daripada fisioterapi pasukan.
"Saya harap dapat pulih sepenuhnya bagi membolehkan diturunkan dalam perlawanan esok," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, kecederaan yang dialaminya itu tidak menganggu tumpuannya dalam menghadapi Johor FC.
Azzamuddin atau lebih mesra dengan panggilan Alex memberitahu, dia menjangkakan pertemuan dengan Johor FC sengit.
"Saya yakin mereka akan turun bermati-matian dan tidak mahu kalah. Begitupun saya percaya Kelantan juga tidak mahu terlepas tiga mata lebih-lebih lagi beraksi ditempat sendiri," ujarnya.
Ditanya mengenai tekanan yang bakal dihadapinya apatah lagi perlawanan esok merupakan yang pertama bagi beliau dalam kempen Piala Malaysia di gelanggang sendiri, Alex tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut.
"Tekanan tetap ada dan itu perkara biasa bagi saya. Saya sudah bersedia untuk beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setia Kelantan.
"Malah saya sudah tidak sabar untuk membuktikan sesuatu kepada penyokong disini.
"Sekiranya diturunkan, saya berjanji akan berikan yang terbaik. Saya cukup bersemangat untuk menjaringkan gol dalam perlawanan malam esok.
"Insya Allah dengan bantuan rakan yang lain, saya mampu merealisasikan impian tersebut," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment