Friday, September 9, 2011

T-Team yakin mara lebih jauh


Pemain T-Team, Shamsul Kamal Mohamad (kiri) menyekat gerakan pemain Selangor, P. Gunalan pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Kuala Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor

KUALA TERENGGANU - Penyerang T-Team, Nor Farhan Mohamad yakin pasukannya mampu melangkah lebih jauh dalam saingan merebut Piala Malaysia musim ini.

Kejayaan menewaskan pasukan gergasi Selangor 1-0 dalam aksi pembukaan Selasa lalu menyuntik semangat kepada pemain T-Team untuk beraksi lebih cemerlang bagi membolehkan pasukan itu melayakkan diri ke peringkat akhir kempen tersebut.

"Melihat pada persiapan yang dibuat oleh pasukan T-Team bagi menghadapi saingan Piala Malaysia ini, saya yakin kami menunjukkan semangat yang tinggi serta moral semakin meningkat pada ketika ini.

"Ia dapat dilihat apabila pasukan kami berjaya menewaskan Selangor yang merupakan pasukan yang kuat dalam Kumpulan D," katanya.

Farhan berkata, selain Selangor, Kuala Lumpur juga merupakan antara pencabar utama bagi T-Team bagi mengharungi saingan dalam Kumpulan D.

T-Team diundi dalam kumpulan D bersama-sama Selangor, Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pusingan kedua akan menemukan T-Team dengan Kuala Lumpur esok, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Selasa lalu, T-Team mengejutkan pasukan Selangor apabila menggegar gawang pasukan menerusi jaringan minit ke 73 oleh pemain pertahanan Nor Fadli Alias. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...