Saturday, April 7, 2012

Hamidan tekad balas kepercayaan Kedah


Harian Metro

HAMIDAN Mohamed kini menampilkan wajah ceria selepas mendapat berita yang khidmatnya masih diperlukan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hingga akhir musim ini.


Justeru, sebagai membalas jasa kepercayaan pihak pengurusan, pemain berasal dari Ghana itu menanam tekad untuk sekali lagi membolosi gawang lawan bagi membantu Kedah pulang dengan tiga mata daripada kunjungan ke Stadium Hang Jebat, bertemu Felda United, malam ini.




“Saya memang lega kerana keputusan KFA itu memberikan peluang kepada saya untuk terus membuktikan kewibawaan, bermula dengan Felda United,” katanya yang menganggap empat jaringan setakat ini, termasuk dua dalam saingan Piala FA bagi menamatkan kemarau golnya, sebagai titik tolak ke arah persembahan lebih bertenaga.




Sambil mengaku tertekan dalam tempoh beberapa hari lalu apabila KFA mengambil keputusan untuk mencuba berapa pemain import baru bagi mengambil alih tempatnya, Hamidan berkata, tindakan itu mungkin ada hikmah kerana mendorongnya beraksi dengan lebih baik bagi membuktikan keupayaan sebenar.

Katanya, selepas segala-galanya kini kembali seperti biasa, tumpuannya adalah memastikan Kedah terus melonjak dengan berada di kedudukan lebih baik di tangga liga dengan memainkan peranan membuatkan kehadirannya bersama skuad Hijau Kuning dirasai.


Dia berkata, gandingannya dengan rakan penyerang Khyril Muhymeen Zambri semakin baik dan mereka akan terus berusaha memastikan Kedah terus menang.





“Semangat pasukan juga tinggi dan ditambah congakan strategi menjadi ketua jurulatih (Wan Jamak Wan Hassan), saya pasti kemenangan akan berpihak kepada kami,” katanya yang menyifatkan kehadiran semula tonggak pertahanan, Mohd Fauzi Nan akan dapat memantapkan kembali pertahanan skuad Kenari.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...