Saturday, April 7, 2012

MSL bakal tergugat?


Harian Metro

DALAM tempoh tidak sampai seminggu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kehilangan dua individu penting dalam Malaysia Super League (MSL) Sdn Bhd, Tan Sri Annuar Musa dan Stuart Ramalingam.


Annuar yang mengambil alih tugas Pengerusi MSL sebelum ini, Khairy Jamaluddin terpaksa melepaskan jawatan itu gara-gara hukuman penggantungan dua tahun enam bulan manakala Stuart meletakkan jawatan selaku Ketua Pegawai Operasi (CEO), tiga hari sebelum hukuman terhadap Annuar diputuskan Rabu lalu.


Ketiadaan Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM untuk menerajui MSL serta Stuart yang mengangkat kaki kerana mendapat tawaran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi jawatan Pengarah Kejohanan Kelab AFC tampak bakal memberi kesan kepada organisasi itu yang diwujudkan untuk mengumpul dana penajaan serta bertanggung jawab dalam pemasaran bola sepak tempatan yang ketika ini mula mendapat perhatian.




Sama ada suratan atau kebetulan insiden ini berlaku, tugas FAM untuk segera mencari calon berkelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Ketika diajukan soalan mengenai perkara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad secara ringkas berkata: “Saya sudah mempersembahkan perkara ini kepada Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah), pengumuman akan dibuat minggu depan.” Menerusi MSL, FAM sebelum ini berjaya mendapat penajaan lumayan sebanyak RM220 juta oleh Astro Media bagi tempoh empat tahun merangkumi hak penyiaran bernilai RM30 juta setiap tahun mulai 2011 dan tambahan RM100 juta bagi kegiatan promosi oleh stesen satelit berbayar itu yang termeterai sebelum ini.


Selain soal mencari duit, MSL juga bertindak merangka pelan transformasi Liga Malaysia (Liga-M) yang belum mencapai taraf terbaik dengan Annuar sebelum ini menganggap Liga-M masih belum menepati kriteria liga profesional yang ditetapkan badan bola sepak serantau Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dan AFC.





Justeru beberapa agenda sudah digariskan MSL sebelum ini bagi mencapai taraf liga profesional dan antara yang ditekankan adalah tiga pemain import setiap pasukan, termasuk seorang dari negara Asean bermula 2012, 


Pengurusan pasukan dilakukan badan bebas selewat-lewatnya pada 2013, membantu negeri memasarkan jenama pasukan dan mencari penaja musim depan, meluaskan siaran langsung ke saluran televisyen percuma dan ke rantau Asean serta cadangan pemberian imbuhan kepada pasukan yang terbabit dalam siaran langsung di televisyen.

Bagi Stuart, beliau sedia membantu ‘orang baru’ dalam MSL sekiranya khidmatnya masih diperlukan untuk meneruskan agenda itu.




“Pelan kami tahun ini adalah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan MSL, FAM dan pasukan serta pembangunan penyokong. Saya sedia menyerahkan pelan yang dirancang sebelum ini kepada individu baru yang dilantik kelak.

“Saya tidak tahu siapakah yang akan mengisi kekosongan jawatan ini tapi pada pendapat saya, FAM perlu segera mencari pengganti bagi melancarkan perjalanan MSL,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...