Friday, April 6, 2012
‘Satu kehilangan besar’
“BAGI saya, ia satu kehilangan kerana beliau banyak menyumbang kepada sukan bola sepak tapi tak semestinya orang yang banyak memberi sumbangan kebal daripada dikenakan tindakan,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengulas hukuman penggantungan dua tahun enam bulan ke atas Tan Sri Annuar Musa.
“Memang Tan Sri banyak memberi sumbangan dalam sukan ini terutama bola sepak Kelantan tapi dalam dunia bola sepak, setiap pemain termasuk pegawai dan pemimpin perlu mematuhi disiplin tertentu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Standard Chartered Fun Run 2012 di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, semalam. Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Zaidon Asmuni dan Ketua Pegawai Eksekutif Standartd Chartered Bank Malaysia, Osman Morad.
Acara larian Standard Chartered yang dijadual berlangsung di Putrajaya pada 26 Mei ini diadakan sempena sambutan Hari Belia 2012, dengan seramai 8,000 peserta dijangka mengambil bahagian. Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, kementeriannya akan memberikan elaun RM2,500 kepada atlet sukan pedang bagi kelayakan Sukan Olimpik akan datang. “Kita akan memberikan bantuan yang diperlukan Persatuan Lawan Pedang bagi memastikan setiap atlet sukan itu memberi impak besar.
“Saya mengucapkan tahniah kepada atlet lawan pedang, Yu Peng Kean kerana berjaya melayakkan diri ke temasya London 2012. “Saya terkejut dan gembira kerana tak pernah terlintas dalam fikiran sukan ini dalam agenda kita,” katanya. Baru-baru ini, atlet sukan lawan pedang, Peng Kean berjaya melayakkan diri ke temasya London 2012 berpandu kepada kiraan mata serta kedudukan tempat kesembilan dan ketujuh pada Kejohanan Asia 2010 dan 2011.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment